SEBUYAU, 27 OKTOBER 2022 (SNN): Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi turun padang meninjau beberapa projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau di sini, semalam.
Beliau bersama rombongan telah meninjau projek RTP yang melibatkan pembinaan dewan masyarakat di Kampung Mambai, Kampung Skitong, Kampung Tungkah Melayu dan projek naiktaraf padang bola sepak di penempatan bandar baharu Sebuyau.
Seterusnya, Julaihi yang juga ADUN Sebuyau kemudian bergerak menuju ke Kampung Hulu dan Kampung Sawmill bagi melihat sendiri projek naiktaraf jalan menuju ke kampung yang telah siap diturap yang melibatkan kawasan sebelah Gunung Ruai dan menuju ke Klinik Baru Sebuyau.
Ujarnya, beliau amat berpuas hati di atas perkembangan dan siapnya beberapa projek RTP yang dilaksanakan oleh kontraktor dilantik dan berharap dengan adanya kemudahan itu sedikit sebanyak membantu melancarkan aktiviti masyarakat setempat.
Hadir bersama beliau adalah Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Samarahan; Ir Indera Sakti Haron, Pemangku Pegawai Daerah Sebuyau; Jerry Zainuddin Bidin, SAO Ajis Ahmad dan Ketua-Ketua Kaum Kmapung terlibat.