SEBUYAU, 20 MAC 2021 (SNN) : Projek pembinaan jalan menghubung ke Kampung Lubok Manta Atas, Tungkah Sebangan yang telah siap sepenuhnya pada semalam dirasmikan oleh Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi.
Simbolik perasmian itu dilakukan menandakan projek berkenaan telah sempurna dan boleh diguna oleh penduduk sekitar. Jalan sepanjang 800 meter itu dilaksanakan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) ADUN Sebuyau dengan peruntukan sebanyak RM500,000 daripada kerajaan Sarawak sendiri.
Di majlis yang sama, Datuk Julaihi turut memaklumkan peruntukan tambahan projek RTP 2021 berjumlah RM150,000 kepada beberapa buah kampung di kawasan DUN Sebuyau iaitu Kampung Tungkah Lubok Manta Atas, Lubok Manta Hilir dan Lubok Manta Hulu.
Sebelum berangkat pulang, Datuk Julaihi sempat mengadakan majlis ringkas penyerahan bendera Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada Pengerusi Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Kampung Tungkah Lubok Manta Atas.-SUMBER UKAS.