SEBUYAU, 08 OGOS 2022 (SNN): Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkesempatan hadir bagi merasmi Majlis Ramah Mesra Perkumpulan Persekutuan Wanita Sarawak (PPWS) di Dewan Pembangunan Sebuyau sejurus selepas mempengerusikan mesyuarat khas insiden kebakaran Pasar Lama Sebuyau, semalam.
Dalam ucapan beliau, Datuk Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau menzahirkan ucapan syabas dan terima kasih kepada PPWS kerana telah memilih Sebuyau sebagai tuan rumah sempena sambutan Hari Associated Countries Women of The WOrld (ACWW) pada Sabtu lalu.
Terdahulu, pada Sabtu seawal jam 7.00 pagi PPWS Sebuyau melaksanakan program terbabit yang disertai seramai 150 orang ahli PPWS Daerah Sebuyau dan seterusnya dimeriahkan lagi dengan pelbagai acara seperti zumba, cabutan bertuah, pertandingan sukaneka, pertandingan memasak, pertandingan karaoke dan pertandingan Poco-Poco.
Program bertemakan ‘Women Walk The World, Diversity Is Our Strength’ itu merangkumi aktiviti santai dengan berjalan mengelilingi Pekan Sebuyau bersama ahli PPWS serta dirasmikan oleh Presiden Persatuan Wanita Desa Sedunia (ACWE) Kawasan Asia Tenggara dan Timur Jauh, Norjanah Razali.
Menurut Norjanah, aktiviti berkonsepkan kesihatan ini diadakan bagi membudayakan gaya hidup sihat di peringkat kampung.
Katanya, program seumpamanya juga berfungsi memupuk semangat setia kawan dalam kalangan para ahli dan menggalakkan para wanita untuk beriadah demi menjaga kesihatan masing-masing.
Turut hadir sama Ahli Parlimen Batang Lupar; Dato Sri Hajah Rohani Karim,Pengerusi PPWS Sarawak; YBhg Dato Hajah Norhayati Ismai, Pn Norjanah Razali; Pengerusi Wanita Desa Sedunia Kawasan Asia Tenggara Dan Timur Jauh dan beberapa exco PPWS serta Tn Hj Berahim; Residen Bhg Samarahan dan Tn Jerry Zainudin Bidin; Pegawai Daerah Sebuyau.