KUCHING, 23 JULAI 2023 (SNN): Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi antara 51 penerima Anugerah Pingat Peringatan Cemerlang Jubli Intan (emas) pada sambutan 60 tahun Sarawak Merdeka di Kuching, semalam.
Penganugerahan pingat itu disempurnakan oleh YAB Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selepas merasmikan Majlis Sambutan 60 tahun Sarawak Merdeka di perkarangan Dataran Merdeka, Kuching.
Beliau menzahirkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Kerajaan Sarawak serta semua warga kementeriannya di atas ucapan tahniah yang disampaikan kepada beliau dan ia merupakan sokongan dan kerjasama semua pihak.
Terdahulu, majlis anugerah pingat tersebut didahului oleh dua mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak iaitu Tan Sri Dr George Chan Hong Nam dan Tan Sri Alfred Jabu Numpang diikuti bekas Setiausaha Negeri Sarawak, Tan Sri Bujang Mohd Nor, Bekas Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Leo Moggie dan bekas Ahli Parlimen Kapit, Tan Sri Leonard Linggi Jugah.
Turut menerima anugerah ialah ketiga-tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Kesemua penerima anugerah pingat tersebut diberikan di atas sumbangan dan jasa sepanjang berkhidmat dengan cemerlang kepada pembangunan negeri Sarawak.