LAWAS, 28 APRIL 2022 (SNN) : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Lawas memainkan peranan penting dalam menangani bencana di daerah itu.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, dalam setiap bencana mereka antara barisan hadapan yang ke hadapan sekiranya berlaku sebarang bencana.
“Mereka antara barisan hadapan jika berlaku kebakaran, banjir dan sebagainya serta mempunyai pasukan yang sentiasa bekerjasama.
“Semua jabatan harus bekerjasama dengan baik dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Singgah Sahur dan merasmikan Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan BBP Lawas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Lawas baru-baru ini.
Gimik pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan BBP Lawas dilakukan dengan penyampaian alat pemadam api kepada Pengerusi Persatuan Bomba Sukarela Punang dan Punang Jaya, PBS Pemukat, Kuala Lawas dan Pengerusi Bomba Komuniti RKB Banting, Lawas.
Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari memberitahu pihaknya juga akan menambah bantuan penyediaan pemadam api di kampung-kampung.
“Sebelum ini juga kita beri bantuan kepada Bomba dalam penyediaan pemadam api yang diagih-agihkan ke kampung-kampung walaupun belum mencukupi dan inshaallah kita akan tambah lagi,” ujarnya.
Pada majlis itu, beliau telah memperuntukan RM10,000 kepada BBP Daerah Lawas dan Kumpulan Wanita RM5,000 bagi menjalankan aktiviti tahunan yang dirancang.
Hadir sama Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Awangku Zainal Abidin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Wakil Ketua Zon 7 Zaki Husin, Dato Safri Dato Abdillah, Ketua Balai Bomba Daerah Lawas Azman bin Ibrahim dan Ketua-ketua Jabatan, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan kakitangan Bomba Daerah Lawas.-UKAS.