KOTA SAMARAHAN, 08 SEPTEMBER 2024: Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Peringkat Negeri Sarawak disifatkan sebagai menzahirkan penghargaan dan penghormatan kepada baginda selaku ketua negara.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap menteri bertanggungjawab, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, baginda memainkan peranan penting dalam negara dan lambang perpaduan kaum di Malaysia.
“Ia merupakan tanda bahawa Sarawak sebagai salah sebuah wilayah dalam Malaysia melihat peranan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara adalah lambang perpaduan untuk semua kaum di negara kita yang terdiri daripada etnik terutamanya di Sarawak.
“Sambutan keputeraan tersebut yang diadakan turut membolehkan ramai lagi rakyat Sarawak mengenali lebih rapat Kerabat Diraja dan alatan-alatan yang digunakan di Istana Negara,” katanya dalam ucapan ketika ditemui media semasa Majlis Jamuan Teh Sempena Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-17 di Dewan DeTAR, Universiti Malaysia Sarawak, pada Sabtu.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi telah hadir menyerikan Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim peringkat Negeri Sarawak.
Turut hadir sama Premier Sarawak; Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan isteri; Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, timbalan-timbalan Menteri Sarawak serta dif-dif kenamaan yang lain-UKAS