SEBUYAU, 28 MAC 2025: Seramai 40 penerima dari empat buah kampung telah menerima sumbangan duit raya sempena bulan Ramadan yang disampaikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi.
Sumbangan tersebut diberikan kepada golongan asnaf dari Kampung Segali, Kampung Sungai Ladong Hulu, Kampung Sungai Ladong Hilir dan Kampung Seruyuk, dalam satu majlis di Masjid Darul Ridzuan, Kampung Sungai Ladong, Sebangan pada Khamis.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu, bantuan yang diterima amat bermakna bagi mereka, terutamanya dalam menampung sedikit sebanyak kos persiapan raya kelak.
Sementara itu, para penerima berkesempatan menzahirkan rasa syukur atas sumbangan yang disalurkan, menganggap ianya sebagai satu sinar harapan yang memberi keceriaan kepada mereka dalam menyambut hari kemenangan.
Sehubungan itu, Dato Sri Julaihi berharap usaha murni ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk lebih banyak memberi manfaat kepada golongan asnaf di kawasan tersebut.
Turut hadir sama, Pegawai Daerah Sebuyau; Ayuradiman Bujang, Ketua Masyarakat Kampung Sungai Ladong; Logom dan Ketua Masyarakat Kampung Sungai Ladong Hulu; Illi Sauni-UKAS