SEBUYAU, 07 FEBRUARI 2024: Seramai 114 kanak-kanak Taman Bimbingan Kanak-Kanak (tabika) dan 25 kanak-kanak Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) telah diiktiraf bakat dan kecemerlangan mereka dengan menerima sijil kecemerlangan pada Hari Apresiasi Taska/Tabika Bahagian Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Peringkat Parlimen Batang Lupar pada Rabu.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi yang hadir merasmikan majlis tersebut memberitahu, Hari Apresiasi Taska/Tabika Kemas merupakan majlis tahunan yang diwujudkan sebagai pengiktirafan kepada kanak-kanak yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang akademik dan aktiviti kokurikulum.
Berucap dalam majlis itu juga, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu menambah, majlis seumpama ini merupakan satu platform yang baik untuk memberi pengiktirafan kepada kanak-kanak yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang akademik dan aktiviti kokurikulum.
Tambahnya, pihak kerajaan juga telah banyak berusaha dan menyalurkan sumbangan dari segi masa, tenaga dan wang ringgit bagi mempersiapkan keperluan dan kelengkapan anak-anak ini.
Beliau berharap, warga pendidik Pendidikan Awal Kanak-Kanak terus komited dalam mengajar dan membimbing anak-anak sehingga mereka berjaya menguasai 4M iaitu membaca, mengira, menulis dan menaakul.
Dalam majlis itu juga, Dato Sri Julaihi turut meluluskan peruntukan dana sebanyak RM20,000 kepada jawatankuasa Koperasi KEMAS Batang Lupar bagi menjayakan aktiviti sekolah sepanjang tahun ini.
Hadir sama wakil Pengarah KEMAS Negeri Sarawak; Zuraidah Jumali, Pegawai Daerah Sebuyau; Ayuradiman Bujang, Pegawai KEMAS Daerah Simunjan; Maimunah Latip, Penyelia Kanan KEMAS Batang Lupar; Yaman Median dan Penghulu Masyarakat Melayu Kawasan Sebuyau; Abu Seman Suhaili.