SEBUYAU, 20 SEPTEMBER 2024 (SNN): Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau hadir merasmi dan memeriahkan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Sebuyau bagi tahun 2024 Masihi/ 1446 Hijrah.
Majlis tilawah yang berlangsung di Masjid Al-Muflihin, Sebuyau pada Khamis itu menyaksikan bacaan Al-Quran daripada peserta Qari dan Qariah dari sekitar Daerah Sebuyau dan persembahan nasyid kategori kanak-kanak.
Edisi kali ini menyaksikan saudara Afiq Mustaqim bin Wan Bujang dinobatkan sebagai johan qari manakala qariah pula dimenangi oleh saudari Sharifah Fatimah binti Wan Sait manakala naib johan masing-masing dimenangi oleh Wan Roslan bin Sait dan Hazimah binti Kharpek.
Tempat ketiga qari dan qariah pula dimenangi oleh Wan Jamaluddin bin Wan Sait dan Jamayah binti Ramli yang mana kesemua pemenang tersebut masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai, piala dan Al-Quran.
Dalam ada itu, Dato Sri Julaihi menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua pemenang dan warga Sebuyau yang turut hadir meraikan majlis berkenaan dan berharap agar setiap masyarakat beragama Islam terus melazimi bacaan Al-Quran yang menjadi panduan hidup di dunia dan akhirat.