KUCHING, 30 OGOS 2024 (SNN): Delegasi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) dan Sarawak Energy yang diketuai menterinya, Dato Sri Julaihi lakukan tinjauan ke kemudahan Snowy Hydro Tumut 3 di New South Wales, Australia untuk memahami kebolehlaksanaan hidro simpanan yang dipam (PHES) di Sarawak.
Beliau dalam satu kenyataan memberitahu, lawatan kerja itu menerima taklimat mengenai aspek operasi Tumut 3 yang memainkan peranan penting dalam penjanaan tenaga elektrik dan pengurusan air.
Misi kajian yang bermula sejak Isnin (26 Ogos) lalu dengan sesi libat urus antara delegasi Sarawak dan wakil DFAT, P41 dan Australia National University di Canberra bertujuan memberi pandangan tentang usaha peralihan tenaga dan teknologi pembangunan Australia, terutama PHES.
Perbincangan itu juga memberi tumpuan kepada rangka kerja teknikal, pasaran dan kawal selia penting untuk projek PHES yang Sarawak sedang pertimbangkan sebagai sebahagian daripada strategi tenaganya.
Kajian dan penglibatan CPS dan PHES termasuk lawatan kerja ke wilayah yang mempunyai projek berjaya dilaksanakan, seperti di Austria dan Australia.
Untuk rekod, Skim Hidroelektrik Snowy Mountains terdiri daripada lapan stesen jana kuasa hidro, termasuk dua yang berada di bawah tanah.
Lapan stesen jana kuasa skim itu dilengkapi dengan 33 turbin dan mempunyai jumlah kapasiti penjanaan 4,100 megawatt (MW), menghasilkan purata 4,500 gigawatt-jam elektrik yang boleh diperbaharui setiap tahun.
Stesen Jana Kuasa Snowy Hydro Tumut 3 ialah bahagian penting dalam Hidroelektrik Snowy Mountains Skim yang merupakan salah satu kemudahan hidroelektrik dan PHES utama Australia.
Tumut 3 juga merupakan loji hidro pam utama pertama di Australia dan yang terbesar setakat ini dimana ia mengitar semula air antara Takungan Talbingo dan Jounama Pondage untuk penjanaan dan pengepaman.
Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Tetap dan Pengarah Bekalan Elektrik bagi MUT; Syed Muhamad Fauzi Shahab, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sarawak Energy; James Ung, Ketua Pegawai Eksekutif SEB Power; Bunyak Lunyong, Naib Presiden Senior Pembangunan Perniagaan Sarawak Energy; Nick James Arnett Wright serta pegawai lain daripada MUT dan Sarawak Energy.