KUCHING, 03 MAC 2024: Sebanyak lima Masjid dan tiga Surau kawasan Bandar Baru Samariang telah menerima Sumbangan Ramadan Surau Masjid di bawah Parlimen Santubong berjumlah keseluruhan RM44,000.
Simbolik penyerahan telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri dalam Majlis Ceramah Ambang Ramadan dan Sumbangan Ramadan Kawasan Parlimen Santubong di Masjid Darul Hijrah, Bandar Baru Samariang Kuching di sini pada Sabtu.
Dato Sri Nancy yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, setakat ini, sebanyak 20 buah masjid dan 26 buah surau di bawah Parlimen Santubong telah menghantar permohonan dan akan menerima dana tersebut.
“Serahan sumbangan akan diadakan pada 2 dan 3 Mac 2024 meliputi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai dan DUN Demak Laut.
“Seterusnya, diikuti dengan DUN Tanjong Datu iaitu pada10 Mac 2024,” katanya ketika berucap ringkas dalam majlis tersebut.
Jelasnya lagi, jumlah sumbangan Ramadan yang disalurkan kepada keseluruhan masjid dan surau setakat ini adalah sebanyak RM169,000.
“22 buah surau dan masjid kesemuanya. Tetapi belum habis lagi, saya masih tunggu. Ini fasa pertama, mengikut peraturan ada dua kali kita boleh bagi, jadi fasa pertama terutama sekali bersedia untuk bulan Ramadan.
“Jadi sebab itu kita nak adakan program sebelum Ramadan sehingga awal Ramadan supaya surau dan masjid dapat menjalankan aktiviti Ramadan mereka dengan lancar,” ujarnya.
Terdahulu Dato Sri Nancy sempat menunaikan solat Fardhu Maghrib dan Isyak bersama jemaah yang lain serta mendengar Ceramah Ambang Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz Azmi Sha’ari.-UKAS