KUCHING, 12 OKTOBER 2024: CRE International Co. Limited, peneraju global dalam tenaga boleh diperbaharui dan InvestSarawak telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam membangunkan projek tenaga solar dan tenaga boleh diperbaharui di Sarawak dengan jumlah kapasiti dua gigawatt (GW).
MoU tersebut yang ditandatangani di Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menandakan sebagai satu langkah penting dalam usaha Sarawak menjadi hab tenaga lestari.
Dalam satu kenyataan media pada Jumaat, Datuk Amar Awang Tengah menekankan kepentingan bekerjasama dengan syarikat antarabangsa seperti CRE International untuk mempercepat proses peralihan tenaga di Sarawak.
“Kerjasama ini merupakan detik penting dalam perjalanan Sarawak untuk menjadi peneraju utama dalam tenaga boleh baharu di rantau ini.
“Kami komited untuk memastikan potensi Sarawak direalisasikan sepenuhnya, dan kerjasama seperti ini akan memacu kita ke hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya projek-projek tersebut termasuklah tenaga solar, angin dan penyimpanan tenaga yang dianggarkan akan menarik pelaburan sebanyak RM6.44 bilion sekali gus meningkatkan inisiatif tenaga bersih Sarawak.
Kerjasama ini akan membantu mengenal pasti lokasi sesuai untuk projek tenaga boleh diperbaharui dan mewujudkan rangka kerja kewangan dan komersial untuk memacu peralihan tenaga di rantau ini.
Turut hadir menyaksikan MoU tersebut ialah pegawai tertinggi termasuk wakil dari China National Nuclear Power (CNNP) dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak.-UKAS