SEBUYAU, 16 OKTOBER 2021 (SNN) : Selepas selesai menunaikan Solat Jumaat dan beramah mesra bersama penduduk di Masjid Seruyuk, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi seterusnya melakukan lawatan kerja ke Pekan Sebuyau bagi menyaksikan upacara ringkas Majlis Penyerahan Tapak Projek ‘Chalet Sebuyau’ oleh Setiausaha Majlis Daerah Simunjan kepada pihak kontraktor Urbanpro Development Sdn Bhd.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata, Chalet Sebuyau tersebut merupakan projek rakyat yang telah diluluskan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dengan dana keseluruhan sebanyak RM4.9 juta dan merupakan salah satu komponen di dalam Bandar Baharu Sebuyau bagi merancakkan sekor pelancongan tempatan apabila siap kelak.
Beliau turut memaklumkan, kerja-kerja pembinaan chalet yang merangkumi empat komponen utama iaitu chalet empat unit chalet berkembar, tujuh unit chalet separa-kembar, tiga unit kluster dan dua chalet asrama yang mampuenampung seramai 84 orabg penginap dalam satu-satu masa dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan Julai 2022 ini.
Jelas beliau lagi, projek berkenaan merupakan projek yang ditender semula untuk kerja-kerja yang tidak dapat disiapkan oleh kontraktor terdahulu yang telah ditamatkan kontraknya kerana gagal menyiapkan kerja mengikut jadual ditetapkan. Diharapkan kontraktor yang dilantik kali ini dapat melaksanakan kerja-kerja pembinaan mengikut jadual yang telah ditetapkan iaitu selama sembilan bulan dari tarikh penyerahan tapak projek.
Turut hadir sama Pegawai Daerah Simunjan; Abdul Khalid Manap, Setiausaha Majlis Daerah Simunjan; Mohd Rizal Zakaria, Pengurus Juliah Sabri Architect, dan Pegawai Tadbir Sarawak; Ajis Ahmad.