BINTULU: Loji Jana Kuasa Kitaran Gabungan (CCPP) Tanjung Kidurong yang telah beroperasi sebenuhnya sejak tahun 2022 mempunyai kapasiti penjanaan sebanyak 842MW di mana ia dibangunkan dengan tujuan menambah kapasiti penjanaan tambahan untuk menyokong grid elektrik, memudahkan peralihan ke arah sistem penjanaan kuasa yang lebih mampan dan berteknologi maju selain membantu memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat bagi kedua-dua pelanggan individu dan rakan kongsi industri di seluruh Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi yang mengetuai lawatan kerja ke Loji Jana Kuasa Kitaran Gabungan (CCPP) Tanjung Kidurong Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) pada Sabtu memberitahu, stesen berkenaan mampu menjana tenaga elektrik lebih 1,200 Megawatt yang menampung 20 peratus bekalan elektrik di seluruh Sarawak.
Tambah beliau lagi, Power Station SEB di Kidurong tersebut kini mengandungi dua punca bekalan elektrik terbaru apabila dua blok Combined Cycle Gas Turbine (CCGT @ 42I × 2 = 842 MW) siap dan mula beroperasi pada tahun lepas (tahun 2022) yang menggunakan gas dibeli dari pihak PETRONAS.
Sarawak Energy dalam satu kenyataan media memaklumkan, turut hadir menyertai rombongan lawatan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Jafri Lias, Timbalan Setiausaha Tetap dan Pengarah Bekalan Elektrik MUT Syed Mohamad Fauzi Shahab.
Dalam lawatan kerja itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sarawak Energy Ir. James Ung telah menyampaikan ucapan aluan manakala Pengurus Stesen Jana Kuasa Bintulu Cheling Sapong turut memberikan taklimat berkenaan gambaran keseluruhan kemudahan loji jana kuasa tersebut.
Difahamkan, aktiviti menaik taraf Stesen Jana Kuasa Bintulu telah menelan kos sebanyak RM3.1 bilion dengan pembangunan CCPP Tanjung Kidurong yang dilaksanakan pada 2018.
Sementara itu, Sarawak Energy terus memberikan komitmen untuk menyokong peralihan negeri ke arah tenaga yang lebih bersih, memacu pertumbuhan ekonomi hijau dan memastikan masa depan yang mampan untuk rakyat Sarawak.-UKAS