KUCHING, 25 MEI 2019 (SNN) – Kegembiraan menyambut ketibaan Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang pastinya lebih dirasai serta paling bermakna buat 61 orang anak-anak golongan asnaf Saberkas cawangan Samariang yang bertuah.
Menerusi Program Cahaya Gawai Aidilfitri 2019 ini yang diadakan pada 25 Mei 2019 di sebuah pusat membeli-belah, peserta yang terpilih berpeluang untuk berbelanja barangan keperluan masing-masing terutamanya pakaian hari raya seperti kasut, baju Melayu dan sebagainya pada jumlah RM120.
Menurut En. Sulhie Salleh, Timbalan Pengerusi Saberkas Cawangan Samariang, program ini melibatkan penyertaan daripada enam unit Saberkas yang bertindak mengenal pasti anak-anak dan belia yang kurang bernasib baik serta tergolong dalam kategori asnaf.
“Kita membawa anak-anak ini membeli-belah untuk menyiapkan persiapan hari raya yang akan menjelang tidak lama lagi. Bagi tahun 2019, program ini sudah memasuki tahun kedua dan insya-Allah akan diteruskan pada masa yang akan datang,” tambah beliau lagi.
YB Puan Hajah Sharifah Hasidah, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek) merangkap Naib Pengerusi Saberkas Negeri bersama YB Datuk Seri Haji Fadillah Yusof, Ahli Parlimen P194 Petra Jaya turut hadir untuk bersama-sama meraikan anak-anak dan belia tersebut.Selain melahirkan perasaan bangga terhadap penganjuran program ini, beliau turut menghargai penglibatan 35 orang sukarelawan Saberkas yang banyak membantu bagi memastikan kelancaran program ini.