KUCHING, 13 OKTOBER 2023 (SNN): Seramai 130 peserta daripada 43 kementerian, jabatan, agensi, syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Telekomunikasi (TCCM) 2023 yang dipengerusikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi di sini pada Khamis.
TCCM diadakan setiap dua bulan bertujuan untuk melaporkan kemajuan dan prestasi projek oleh semua agensi di bawah Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) meliputi kedua-dua kemajuan fizikal dan kemajuan kewangan.
MUT dalam satu kenyataan media pada Khamis memberitahu, TCM bertujuan untuk mengetengahkan isu dan cabaran bagi projek yang tertangguh atau mungkin dijangka mengalami kelewatan untuk menyediakan tindakan intervensi menyelesaikan isu atau cabaran, memudahkan penyampaian projek atau inisiatif dan membincangkan sebarang perkara telekomunikasi di Sarawak.
Dalam mesyuarat itu kata MUT, agensi berkaitan dan penyedia telekomunikasi membentangkan kemajuan projek telekomunikasi yang dilaksanakan oleh mereka masing-masing bagi suku sebelumnya.
“Untuk menara 4G, sejumlah 3,430 menara daripada 4,055 menara yang telah siap kini “Dalam Siaran. Selebihnya menara dijangka “Dalam Siaran” menjelang S3 2024. Untuk tapak 5G, sejumlah 341 daripada 589 tapak kini disepadukan memberikan Liputan Kawasan Penduduk (COPA) sebanyak 44.9 peratus setakat ini.
“Selebihnya tapak 5G dijangka akan disepadukan menjelang akhir tahun ini memberikan COPA sebanyak 60 peratus,” kata MUT lagi.
MUT dalam kenyataan sama memberitahu, isu lain yang dibincangkan termasuk isu berkaitan ‘wayleaves’ dan vandalisme yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada pihak kerajaan.
“Langkah ke hadapan untuk permohonan dan kelulusan ‘wayleaves’ adalah dengan mendigitalkan proses. Pelbagai inisiatif anti vandalisme menggunakan teknologi terkini turut dibincangkan dan dipertimbangkan untuk dilaksanakan,” kata MUT lagi.
Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi); Datuk Liwan Lagang, Setiausaha Tetap MUT; Jafri Lias, wakil Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan wakil-wakil Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).-UKAS