More
    Home Blog Blog Dr. Aila... Mencari Jalan Pulang

    Blog Dr. Aila… Mencari Jalan Pulang

    Dalam berjuta-juta penduduk dunia, tidak ada siapapun yang kebal dan boleh terkecuali dari sebarang jangkitan dan masalah kesihatan. Samalah juga rapuhnya keadaan diri kita untuk berjalan mengharungi arus ekonomi, sosial dan global yang sedang deras melanda kehidupan kita semua.  

    Musim pandemik ini menyedarkan kita semua tentang hakikat sebuah kehidupan yang sementara. Di depan mata kita melihat, satu-persatu situasi yang stabil telah berubah dengan tiba-tiba. Keadaan yang kini berubah secara drastik sebenarnya mengajar kita tentang beberapa perkara sebagai iktibar.

    Kita semua terdedah pada perubahan yang boleh berlaku pada diri mahupun orang di sekeliling kita tanpa sebarang amaran.  Hari ini, jangkitan dan kesakitan boleh berlaku tanpa simptom mahupun petanda.  Begitu juga halnya dengan kerugian dan kesedihan.  Malah wujud juga kemungkinan akan pemergian mereka yang tersayang pada bila-bila masa. 

    Mencari ruang berfikir

    Melihat kesukaran dan kesedihan yang sedang dilalui oleh ramai orang, sepatutnya ia menjadikan kita lebih berfikir. Dengan berfikir jauh ke hadapan itu, akan membantu kita untuk berkira-kira dan membuat persediaan yang wajar. Ini kerana, sekalipun kita semua berdepan dengan situasi perubahan sekeliling yang sama, kesannya berbeza-beza mengikut tahap penerimaan dan situasi seseorang individu. 

    Lantaran itu,kita harus bertanya pada diri. Apabila melihat situasi persekitaran, adakah kita bersegera mengambil iktibar? Di saat masih berdiri, pernahkah kita mencari ruang berfikir? Seberapa segerakah agaknya kita meletakkan diri dalam posisi bersedia sebelum keadaan jatuh terduduk? Benar, situasi hari ini nyata mengajar. Bersedialah dengan apapun kemungkinan, mengikut kesesuaian diri dan keadaan kita seadanya. 

    Mencari garis sempadan 

    Pernah dengar tentang titik buta di jalan raya? Sekalipun pandangan jauh nan lurus dalam cuaca indah cerah di siang hari, tanpa disedari kita terdedah pada bahaya yang sudah mendekat jaraknya. Seandainya berada dalam keadaan kurang waspada, tidak mustahil merempuh bahaya yang tidak dapat dielak.

    Dalam kehidupan hari ini, teknologi memberi pandangan jauh tanpa sempadan. Malah kadang kala juga, tanpa sedar pandangan itu melewati sempadan kemampuan diri kita. Terbiasa melihat gaya hidup yang indah-indah, apatah lagi dibantu oleh perisian dan aplikasi teknologi yang mampu memadam cela. Kita menjadi keliru dan hampir terlupa akan wujudnya batasan kemampuan, batasan masa, batasan harga dalam dunia sebenar di sekeliling kita. Walhal, kita seharusnya sedar akan batasan dan keadaan sebenar dalam kehidupan.  

    Sekaligus, ianya membawa kepada persoalan kedua dalam diri kita. Adakah kita orangnya, yang nampak garis sempadan dengan mudahnya? Atau kita lebih berkemungkinan dikaburi oleh titik buta di lebuh raya? Lantas, kita perlu mengambil iktibar agar berhati-hati dan beringat dengan gaya hidup yang dijalani.  

    Mencari teguhnya pegangan hati 

    Semasa di sekolah dahulu, kita selalu berasakan yang pandai dan pantas dalam menguasai suatu subjek tertentu itulah yang sangat berjaya. Tapi semakin meningkat dewasa, kita akan mengerti.  

    Hakikatnya agak berbeza dalam kehidupan sebenar. Kejayaan dalam perjalanan kehidupan sebenarnya lebih bersifat hibrid.  Liku-likunya akan menguji kuat atau lemahnya kita berpegang pada prinsip kebaikan dan kebenaran. 

    Semakin banyak kita meneliti dan memerhati, bukan sedikit yang kita lihat kecundang sekalipun mereka tidak kurang hebatnya dalam melakarkan kejayaan peribadi. Kita mula mengetahui mengapa begitu ramai yang punya ribuan peminat, akhirnya memilih untuk mengakhiri riwayat dengan dadah dan derita di penghujung usia. Ya, hidup bukan tentang siapa yang paling pandai, paling tampan atau cantik memikat hati, pakaian dandanan paling menarik, dan sebagainya. Hidup sebenarnya menguji kita lebih dari itu.

    Ianya tentang ketahanan diri kita dalam menerima apapun corak perjalanan hidup.  Dugaan yang datang dalam pelbagai bentuk. Ada menguji kita untuk menahan kemarahan, menangani kesedihan dan menerima kehilangan. Dan bertahan itu tidak mudah. Untuk mengambil iktibar, tanyakanlah pada diri sejauh mana kita bertahan dalam kesukaran. 

    Kesedaran dan ketahanan dalam diri dijelmakan oleh ilmu praktikal, yang biasanya kita tidak pelajari di dalam kelas. Dalam kehidupan sebenar, tiada gred A, B dan C yang diberi untuk pembelajaran praktikal ini. Ilmu praktikal ini perlu dicari, dan ianya diajar oleh kehidupan dan pengalaman. Analoginya diibaratkan, akan perlunya amali makmal berbanding hanya membaca catatan teori sains di buku.  Atau, perlunya latihan industri praktikal sebagai lanjutan persediaan bekerja selepas memenuhi kuliah-kuliah di universiti. 

    Mencari jalan pulang

    Hakikatnya kita semua sedang berjalan untuk pulang. Perkara paling berbahaya adalah jalan singkat.  Amat membimbangkan melihat ramai yang memilih jalan singkat dengan situasi yang begitu menguji ketahanan diri hari ini. Begitu banyak depresi dan tekanan emosi. Sama-sama kita saling mengingatkan diri, bahawa setiap orang ada masalah dan ujian hidup tersendiri. Jangan ditambah sesak di dada. Jangan didasari keputusan untuk memendekkan perjalanan kerana berputus asa.

    Sanifa
    Chief Editor

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Manfaatkan tanah NCR sebaik mungkin jangan dijual demi keuntungan sementara-Awang Tengah

    0
    BAU, 29 NOVEMBER 2024: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak berjaya menyukat secara perimeter seluas lebih kurang 1,168,123 hektar (2.8 juta ekar) tanah Hak...