KUCHING, 20 NOVEMBER 2023 (SNN): Kerajaan Sarawak mencadangkan peruntukan sebanyak RM13.601 bilion diperlukan dalam Belanjawan Sarawak 2024 iaitu peningkatan sebanyak RM2.098 bilion berbanding RM11.503 bilon pada tahun lepas.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, belanjawan yang bertemakan ‘Pembangunan Untuk Semua: Bersama, Membina Sarawak yang Sejahtera, Mampan dan Bersatu’ berteraskan 12 teras strategik yang mana ia merupakan belanjawan terbesar dalam sejarah belanjawan negeri.
Menurutnya, antara 12 teras strategik tersebut adalah seperti mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, merangsang pembangunan wilayah dan luar bandar, menggalakkan pelaburan, keusahawanan dan PKS serta mentransformasikan Sarawak menjadi ekonomi berdaya saing dan berdaya tahan.
“Bajet kali ini mengimbangi antara menyahut cabaran segera yang sedang kita hadapi, mewujudkan lebih banyak peluang untuk rakyat Sarawak, meletakkan asas yang kukuh untuk ekonomi yang lebih berdaya tahan dan terjamin, dan pada masa yang sama, memastikan kemampanan fiskal jangka panjang.
“Bajet itu nanti juga memfokuskan bantuan kos sara hidup di beberapa kawasan untuk mengurangkan beban kewangan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana, membuat pelaburan yang disasarkan dan terus melaksanakan program dan projek penting untuk manfaat rakyat,” jelas beliau ketika membentangkan cadangan Belanjawan Sarawak 2024 pada sesi pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Premier Sarawak yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak menambah, Belanjawan Sarawak 2024 juga memperkukuh modal insan dan pembangunan bakat, mempergiatkan transformasi digital, menggalakkan kelestarian alam sekitar, memperkukuh kebajikan masyarakat dan jaringan keselamatan, mempromosikan sukan dan pemerkasaan belia, membangunkan ekonomi berasaskan inovasi dan berorientasikan pengetahuan, membanteras kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat serta meningkatkan kapasiti kerajaan dan penyampaian perkhidmatan.
“Belanjawan ini dirangka dengan teliti untuk memastikan pembangunan menyentuh setiap pelusuk negeri kita dan merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar untuk memacu Sarawak ke arah masa depan di mana kemakmuran bukan hanya impian segelintir orang tetapi realiti untuk semua,” ujar beliau.
Premier Sarawak turut mencadangkan dalam Belanjawan Sarawak 2024 jumlah Perbelanjaan Biasa sebanyak RM12,363 juta, di mana RM4,563 juta adalah untuk Perbelanjaan Mengurus, manakala RM7,800 juta untuk peruntukan Akaun Kumpulan Wang Pembangunan bagi membiayai pelbagai program dan projek pembangunan.
Menurutnya, Perbelanjaan Operasi sebanyak RM4.563 bilion dipecahkan kepada RM1.067 bilion atau 24 peratus untuk pembayaran gaji, RM1.761 bilion atau 39 peratus untuk bekalan dan perkhidmatan, RM1.524 bilion atau 33 peratus untuk geran dan bayaran tetap, RM107 juta untuk perolehan aset dan RM104 juta untuk perbelanjaan operasi lain.
“Sukacita dimaklumkan kepada Dewan yang mulia ini bahawa dengan unjuran hasil sebanyak RM12.749 bilion dan jumlah Perbelanjaan Biasa sebanyak RM12.363 bilion, Belanjawan Negeri 2024 dijangka menjana lebihan sebanyak RM386 juta.
“Ini adalah Belanjawan terbesar yang pernah diumumkan oleh Kerajaan Sarawak dalam sejarah, satu bukti kejayaan usaha merekayasa semula hasil kami dan pengurusan kewangan yang berhemat.
“Dengan ini, kita mengguna pakai Belanjawan pengembangan yang melabur banyak dalam infrastruktur dan meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai teras utamanya,” katanya.-UKAS