BETONG, 22 Oktober 2019 (SNN): Penyaluran bekalan air dari loji utama di Kaki Wong, Saratok ke Beladin dan Pusa dijangka bermula penghujung tahun ini.
Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pada masa ini kerja-kerja pemasangan struktur untuk penyaluran air sedang giat dijalankan dan pemasangan meter air akan bermula bulan depan.
“Usaha untuk membekalkan air ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro terutama Beladin dan Pusa telah bermula sejak 2017.
“Ia merangkumi bekalan air utama yang disalurkan dari loji utama di Kaki Wong,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau masalah bekalan air di Beladin dan Pusa hari ini.
Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) bagaimanapun berharap agar loji rawatan air di Beladin yang berusia dapat diperbaiki dan diselenggara dengan lebih baik atau dibina baru.
“Terdapat juga isu air masin masuk ke kolam takungan air akibat kerosakan batas air di kawasan yang berdekatan,” ujarnya.
Sehubungan itu menurutnya, tumpuan diberikan kepada kerja penggantian paip lama yang dijalankan secara serentak.
“Perkara paling penting sekarang adalah air dapat disalurkan menerusi loji utama dan air bersih dapat disalurkan ke kampung-kampung di kawasan Beladin dan Pusa secara sempurna dam tempoh beberapa bulan akan datang,” jelasnya.
Dr Abdul Rahman berkata, kerajaan Sarawak memperuntukkan RM2.8 bilion untuk mengatasi masalah air di kawasan kritikal di seluruh negeri termasuk di DUN Beting Maro.
Turut hadir ADUN Beting Maro Razaili Gapor, Pengarah Bekalan Air Kementerian Utiliti Sarawak dan Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).