KUCHING, 10 FEBRUARI 2023 (SNN): Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi memberi jaminan bekalan tenaga elektrik di Sarawak adalah mencukupi walaupun terdapat perancangan untuk mengeksport 1,000 megawatt (MW) tenaga elektrik ke Singapura dalam masa terdekat.
Menterinya Datuk Julaihi Narawi berkata, jumlah tenaga elektrik yang dieksport ke negara jiran itu hanya meliputi dua peratus daripada kapasiti tenaga elektrik sedia ada di Sarawak yang berjumlah 5,996MW.
“Pada ketika ini penggunaan atau permintaan tenaga elektrik di Sarawak ketika ini adalah hanya berjumlah 4,398MW.
“Justeru, Sarawak kini masih mempunyai baki tenaga elektrik sebanyak 1,478MW yang mana mencukupi untuk kegunaan dan keperluan dalam negeri, termasuk sambungan di bawah Skim Dana Pemohon Tambahan atau Lewat (ALAF),”katanya ketika berucap semasa Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak di LCDA Tower, The Isthmus pada Khamis.
Mengulas lanjut, Julaihi menambah selain mengurangkan risiko melalui kepelbagaian portfolio pasaran untuk tenaga negeri, Sarawak juga akan mendapat manfaat meningkatkan hasil pendapatan melalui eksport lebihan kapasiti tenaga tersebut.
“Tarif yang dikenakan kepada elektrik yang dieksport adalah lebih tinggi berbanding minimum tarif dilaksanakan di Sarawak bahkan dalam jangka masa panjang, negeri akan dapat manfaat terutamanya dari segi penambahan pendapatan,” ujarnya lagi.
Jelasnya juga, liputan bekalan elektrik luar bandar pula telah mencapai 97.9 peratus setakat ini dan ini tidak termasuk dengan sisa pemasangan untuk kawasan belum mendapat bekalan elektrik di bawah ALAF yang akan disambungkan secara berperingkat.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi; Datuk Liwan Lagang (Telekomunikasi) dan Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi (Utiliti), Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi; Jafri Lias; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy (SEB); Datu Sharbini Suhaili dan Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB); Ir. Chang Kuet Shian.