SEBUYAU, 01 SEPTEMBER 2021 (SNN) : Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Julaihi Narawi tururt bersimpati dan akan menyalurkan bantuan makanan dalam masa terdekat sehubungan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ke atas beberapa lokaliti seperti Pekan Sebangan, Kampung Lutong dan Kampung Menek, Sebangan, Sebuyau bermula hari ini oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau dalam satu kenyataan melalui akaun Facebook miliknya baru-baru ini menjelaskan pengagihan bantuan makanan akan dilakukan dalam masa terdekat melalui Pusat Khidmat DUN Sebuyau bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) beserta kerjasama daripada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bagi kawasan yang terlibat.
Jelas beliau, pihaknya meminta agar semua penduduk di kawasan Sebuyau khususnya beberapa kampung yang dikenakan PKPD bermula 01 September 2021 hingga 14 September 2021 untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ynag ditetapkan dan berharap sentiasa dalam keadaan selamat dari wabak Covid-19.