SEBUYAU, 12 OGOS 2021 (SNN) : Perasmian pembukaan cawangan baharu Bank Rakyat di Pekan Sebuyau pada semalam akan memberi manfaat kepada 16,373 penduduk di sekitar Daerah Kecil Sebuyau.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar semasa dalam sidang media selepas majlis perasmian memberitahu, perkhidmatan Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change di Pekan Sebuyau ini memperlihatkan komitmen bank berkenaan untuk terus menyediakan kemudahan perkhidmatan perbankan kepada rakyat terutama kawasan luar bandar.
“Ia sekaligus memenuhi keperluan dan perkhidmatan pajak gadai Islam kepada masyarakat yang masih lagi tiada ataupun kurang keperluan asas perbankan. Saya yakin dengan kemudahan perbankan itu kelak akan dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat termasuklah penduduk dari kawasan Beladin dan Meludam.
“Jika dilihat sebelum ini rata-rata penduduk akan ke Simunjan, Kuching, Sri Aman, Sarikei atau Betong untuk mendapatkan kemudahan perkhidmatan perbankan. Oleh itu, dengan bertapaknya Bank Rakyat di Sebuyau ini sudah pasti akan menjadi pusat perbankan mereka memandangkan terdapatnya jaringan jalan raya yang baik selain jarak diantara satu kawasan yang dekat,” kata beliau dalam sidang media selepas selesai Majlis Perasmian Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change di Dewan Persatuan Nelayan Sebuyau semalam.
Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong menjelaskan dalam masa terdekat ini satu lagi cawangan Bank Rakyat akan ditubuhkan di Sungai Asap, Belaga kerana kita melihat ianya adalah satu keperluan ekoran penduduk di situ agak sukar dan jauh bagi mendapatkan kemudahan itu.
Usaha ini turut mendapat sokongan penuh daripada kerajaan negeri Sarawak yang turut akan membantu menyediakan akses sambungan Wifi melalui satelit. Hal ini akan memudahkan lagi urusan penyediaan perbankan kerana kebanyakan perkhidmatan perbankan memerlukan akses jaringan internet yang baik.
Jelas beliau, di seluruh Sarawak setakat ini Bank Rakyat mempunyai 14 cawangan iaitu di Bintulu, Kapit, Kota Padawan, Kota Samarahan, Limbang, Matang Jaya, Miri, Mukah, Permy Jaya, Sarikei, Satok, Sibu, Simpang Tiga dan Simanggang. Selain itu, dua lagi cawangan Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change terletak di Betong dan Lundu.
Turut hadir sama Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi.