KUCHING, 04 Disember 2024: Belanjawan Sarawak 2025 merupakan komponen utama dalam usaha Kerajaan Sarawak menjayakan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS) 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, bajet yang dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 yang lepas bertujuan untuk mengubah wilayah Sarawak menjadi sebuah wilayah yang berpendapatan tinggi menerusi amalan lestari, inovasi yang keterangkuman sosial.
Menurut beliau, perkara ini selaras dengan dengan Bajet Malaysia Madani 2025 yang menekankan sokongan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kemajuan negara dipacu oleh pertumbuhan hijau, penggunaan teknologi dan pembangunan yang mampan.
“Peruntukan daripada Belanjawan Malaysia Madani 2025, yang memberi komitmen RM5.9 bilion kepada pembangunan di rantau ini membolehkan projek penting dalam aspek infrastruktur, tenaga dan pendidikan dapat memajukan Sarawak sambil mengukuhkan unjuran ekonomi kita dengan objektif kebangsaan,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Bajet Sarawak: Bersama Membina Masa Depan Sejahtera di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Selasa.
Menjelas lanjut, Premier Sarawak memberitahu, kedua-dua belanjawan ini membolehkan Sarawak meneruskan pelaburan dalam sektor tenaga yang boleh diperbaharui seperti Ladang Solar Terapung Batang Ai yang mampu menjana tenaga sebanyak 50 megawatt (MW) dan tenaga hidrogen.
“Tambahan pula, Sarawak sedang memajukan inisiatif seperti Projek Solar Terapung Murum, yang apabila siap kelak akan menjadi pemasangan solar-hidro terapung hibrid terbesar di dunia.
“Dalam bidang hidrogen, visi kami adalah untuk menghasilkan 240,000 tan setiap tahun menjelang 2028 yang mana dijangka akan menyumbang RM2.5 hingga RM3.6 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak setiap tahun,” jelasnya.
Beliau menegaskan, usaha Sarawak dalam bidang ini sekaligus membolehkan Malaysia mengukuhkan unjuran ekonomi antara 4.8 peratus dan 5.3 peratus pada tahun ini meskipun ketidaktentuan landskap ekonomi global pada masa kini.
Turut hadir sama Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak; Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kewangan Sarawak; Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Ketua Pegawai Eksekutif SCOPE; Joseph Lim Jit Sek, Pengasas merangkap Rakan Kongsi Pengurusan Kumpulan SALIHIN; Dr Salihin Abang dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak; Siti Rahanah Amat Dollah-UKAS