LIMBANG, 06 OGOS 2022 (SNN): Bahagian Limbang akan terus menikmati pelbagai pembangunan yang berterusan di bawah pentadbiran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah I (Pemodenan Pertanian) Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, selain Waterfornt Limbang yang merupakan terpanjang di Sarawak satu lagi projek pembangunan yang sedang dibina iaitu Pusat Pentadbiran Bersepadu Limbang yang menempatkan pejabat jabatan dan agensi Kerajaan Sarawak di Ragau.
“Kita berterima kasih dengan usaha Kerajaan Sarawak kerana banyak lagi projek-projek pembangunan yang sedang dalam pembinaan termasuk yang terbaru adalah Pusat Pentadbiran Bersepadu Limbang di Ragau.
“Ia akan menempatkan pejabat-pejabat Kerajaan Sarawak di sana dan banyak lagi yang sedang dan akan dilaksanakan di Sarawak termasuk di Limbang ini,” katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Muzium Limbang di sini pada Khamis.
Bercakap mengenai perasmian Muzium Limbang yang telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, ianya adalah bagi memperingati tempat kelahiran Premier Sarawak selain mempamerkan sejarah yang ada di Limbang.
Muzium ini dibina dengan inspirasi daripada Rumah Kediaman Pegawai atau Goverment Quarters seketika dahulu serta bagi memperingati tempat Premier membesar di Limbang dengan kos pembinaan sekitar RM 6.39 Juta.
“Saya rasa Premier Sarawak pasti akan berasa nostalgia pada waktu beliau berada di sini dahulu,” ujarnya lagi.
Dalam pada masa yang sama, ADUN Bukit Kota itu turut memohon dana peruntukan bagi membina jalan menuju ke Muzium Limbang dan Taman Tasik Bukit Mas yang kini sangat curam kepada jalan dua hala dengan jumlah kos sebanyak RM6 juta.
Turut hadir sama YB Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, YB Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki; Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Hasbi Habibollah; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia merangkap Ahli Parlimen P221 Limbang, YB Datuk Dr Abdul Rahman Ismail; Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN N79 Bukit Kota, YB Datuk Sebastian Ting Chiew Yew; Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak, YB Paulus Palu Gumbang; ADUN N80 Batu Danau dan YB Dennis Ngau; ADUN N77 Telang Usan.