LAWAS, 20 MAC 2022 (SNN) : Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mahu peniaga kecil dan sederhana mendapatkan lesen atau permit serta mendaftarkan perniagaan mereka.
Langkah tersebut wajar dilakukan oleh setiap peniaga kecil-kecilan untuk memudahkan kerajaan menyalurkan sebarang bantuan kepada golongan ini dengan adanya nama perniagaan mereka didaftarkan dalam sistem kerajaan.
“Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha untuk membantu masyarakat dalam mengembangkan perniagaan mereka lebih-lebih lagi yang terjejas sejak tercetusnya pandemik COVID-19,’’ jelasnya di Program Penyaluran Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 6.0) Peniaga Kecil dan Penjaja Secara Tunai di Pejabat Majlis Daerah Lawas pada Sabtu.
Ujar beliau, ini ditunjukkan melalui pelancaran pakej BKSS daripada 1.0 sehingga 7.0 dengan perbelanjaan melebihi RM5.3 bilion manakala inisiatif ini diteruskan melalui pemberian BKSS 8.0 pada masa kini.
“Ini juga merangkumi bantuan secara ‘One-Off’ yang berjumlah RM1,500 di bawah BKSS 6.0 kepada peniaga kecil serta penjaja. Di daerah Lawas, bantuan baucar ini akan diserahkan secara berperingkat kepada 2,088 penerima,’’ tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu.
Pada majlis tersebut, Datuk Amar Awang Tengah juga telah menyampaikan baucar itu kepada 29 peniaga kecil dan penjaja yang hadir.
Turut hadir ialah Pemangku Residen Bahagian Limbang; Sebi Abang, dan Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA); Dato Ubaidillah Abdul Latip.-UKAS.