LAWAS, 15 DISEMBER 2024: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, menyeru orang ramai agar tidak menjadikan isu seperti tanah sebagai penghalang pembangunan.
Beliau menegaskan kerajaan akan membayar pampasan jika pemilikan tanah terbukti sah dan menggesa kerjasama dalam pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, air, elektrik, dan telekomunikasi.
“Dengan kerjasama itu kita dapat membangunkan kawasan-kawasan dan meningkatkan taraf hidup kita. Kerana kita mahu setiap pelusuk di kawasan kita ini dapat dibangunkan untuk kemudahan kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pra-Natal dan Tahun Baru 2025 di Dewan Tertutup Banting, pada Khamis.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu terus meraikan perayaan besar secara bersama-sama seperti satu keluarga yang besar tanpa mengira kaum dan agama.
Ujarnya, walaupun terdapat perbezaan dari segi bahasa, agama dan budaya tetapi rakyat Sarawak saling menghormati antara satu sama lain.
“Kita bebas mengamalkan cara hidup budaya kita masing-masing. Kerana kita mahu masyarakat kita mengamalkan ajaran agama dengan sebaik-baiknya.
“Saya berharap perayaan Krismas ini dapat mengukuhkan lagi perpaduan dan keharmonian hidup kita dengan mengamalkan nilai-nilai yang baik seperti yang diajarkan oleh agama dan adat resam kita,” tambah beliau.
Pada majlis tersebut, Datuk Amar Awang Tengah turut menyerahkan bantuan sempena hari Krismas yang diserahkan kepada wakil-wakil setiap 84 buah gereja di Daerah Lawas.
Turut hadir sama Ahli Parlimen Lawas; Dato Henry Sum Agong-UKAS