KUCHING, 18 JANUARI 2025: Tabung Amanah Saham Sarawak (ASSAR) mengumumkan pengagihan dividen interim sebanyak 3.0 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pengagihan kali ketiga pasca penstrukturan semula ASSAR itu melibatkan 57,653 pelabur dengan nilai pengagihan sebanyak RM14.23 juta.
“Ini bermakna terdapat lebihan pendapatan sebanyak RM13.52 juta yang tersedia sebagai rizab bagi menampung pendapatan Tabung ASSAR untuk tempoh yang seterusnya.
“Jumlah pendapatan kasar yang direalisasikan bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 ialah RM22.62 juta iaitu meningkat sebanyak 45 peratus berbanding RM15.59 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya,” umum beliau pada satu majlis yang berlangsung di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) pada Jumaat.
Tambah Abang Jo, pecahan pendapatan kasar yang diperolehi adalah sebanyak 48 peratus atau RM10.95 juta daripada keuntungan penjualan ekuiti dan saham, 37 peratus atau RM8.29 juta pendapatan faedah daripada sekuriti berpendapatan tetap manakala 15 peratus atau RM3.38 juta merupakan pendapatan dividen daripada pegangan ekuiti, pendapatan faedah daripada instrumen pasaran wang dan keuntungan modal daripada penjualan sekuriti berpendapatan tetap.
“Setelah ditolak perbelanjaan sebanyak RM2.93 juta, pendapatan bersih semasa Tabung ASSAR ialah RM19.69 juta.
“Peningkatan pendapatan ini adalah hasil daripada strategi proaktif Pengurus Dana yang telah memanfaatkan setiap rali di pasaran saham untuk merealisasikan keuntungan modal sebelum berlakunya persekitaran tidak menentu,” ujarnya lagi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Sarawak; Dato Sri Saferi Ali, Pengerusi Kumpulan Syarikat Permodalan ASSAR; Dato Sri Wahab Dolah serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah Permodalan ASSAR Sdn Bhd-UKAS