PUSA, 12 MAC 2021 (SNN) : Berikutan penularan wabak Covid-19 di kawasan Kampung Beladin, Pusa dan pengisytiharan Kluster Lorong Melor, Beladin oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) tiga hari lalu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Betong hari ini memutuskan untuk melaksanakan Perintah Sekatan Pergerakan keatas Kampung Beladin.
Menerusi satu kenyataan media, keputusan melaksanakan sekatan pergerakan diambil atas faktor keselamatan dan mengekang penularan wabak berikutan kapasiti penduduk di kawasan itu agak padat. Oleh itu, JPBB Betong melaksanakan sekatan pergerakan bermula pada jam 6.00 hingga 6.00 pagi bermula hari ini hingga 31 Mac 2021 dengan melibatkan kawasan Kampung Hulu Beladin, Kampung Tengah Beladin, Kampung Hilir Beladin dan Rural Growth Centre (RGC) Beladin.
Sebarang pergerakan di dalam kawasan tersebut adalah tidak dibenarkan sama sekali sepanjang tempoh sekatan pergerakan berkuatkuasa dan akan dipantau oleh pihak berkuasa serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).