KUCHING, 04 JANUARI 2022 (SNN) : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak menyeru komuniti maritim di perairan negeri ini agar sentiasa peka terhadap keadaan cuaca dan keselamatan sekiranya turun ke laut berikutan cuaca tidak menentu ketika ini.
Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Zin berkata, fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula pada 3 November 2021 dijangka berterusan sehingga Mac ini menyebabkan tiupan angin yang lebih kencang beserta hujan lebat dan berterusan dari arah Timur Laut.
“Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Metereologi Malaysia (MET Malaysia) pagi tadi, amaran angin kencang Timur Laut berkelajuan 40 ke 50 kmsj dan laut bergelora dengan ketinggian ombak 3.5 meter dijangka di kawasan perairan Sarawak (kategori pertama).
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara beliau berkata, untuk sektor perkapalan, angin kencang Timur Laut melebihi 60kmsj dengan ombak setinggi melebihi 4.5meter (kategori ketiga) dijangka di kawasan perairan laut dalam yang berbahaya kepada semua aktiviti pantai, perkapalan, menangkap ikan termasuk pekerja di pelantar minyak dan perkhidmatan feri.
Justeru beliau menggesa komuniti maritim agar batalkan niat ke laut pada masa ini dan sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot/ kapal dalam keadaan selamat memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini yang kurang baik.
Katanya lagi, nelayan bot kecil terutamanya disarankan untuk tidak turun ke laut buat masa ini kerana keadaan laut pada ketika ini dilihat amat merbahaya dan boleh menyebabkan kejadian ancaman nyawa dan juga harta benda.
Beliau menasihatkan komuniti maritim untuk membawa bersama peranti pengesan peribadi (PLB) supaya membantu mempercepatkan bantuan di laut jika berlaku sebarang kecemasan di laut atau menghubungi terus talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544/ 082-432006 yang beroperasi 24 jam.