More
    Home Sarawak Kuching Anwar beri jaminan MA63 diselesaikan secara bersama

    Anwar beri jaminan MA63 diselesaikan secara bersama

    KUCHING, 20 JANUARI 2022 (SNN): Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mesti ditepati dan diselesaikan segera seperti apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

    Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan hak-hak berkaitan termasuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

    Justeru tegasnya, perkara-perkara yang tertunggak dalam MA63 selama ini perlu diselesaikan secara bersungguh-sungguh dan bersama, bukannya sekadar slogan politik.

    “Perkara-perkara terkandung dalam MA63 itu harus ditepati khususnya terhadap tuntutan-tuntutan Sarawak dan Sabah terhadap hak-hak yang terhakis selama ini wajar dikembalikan semula.

    “Saya berpegang dengan prinsip itu, jadi kita perlu berubah secara bersungguh-sungguh bukan sekadar slogan politik dan menunaikan amanah yang dipikul,” kata beliau ketika menyampaikan amanatnya dalam Majlis Jamuan Negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, pada malam Khamis.

    Acara majlis yang dihadiri Perdana Menteri turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan tarian kebudayaan etnik yang ada di Sarawak.

    Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menegaskan, selaku pemimpin nombor satu negara ketika ini, beliau bertanggungjawab memastikan perkara itu ditepati dan ditunaikan.

    Dato’ Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan kerja sulungnya ke Sarawak selama dua hari bermula pada Khamis selepas dilantik menjadi Perdana Menteri pada November lepas.

    Difahamkan Perdana Menteri juga dijadualkan akan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 di Bangunan DUN Sarawak pada hari ini.

    Turut hadir sama, Premier Sarawak; Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Perdana Menteri; Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato’ Sri Dr. Sim Kui Hian, Ketua Setiausaha Negara; Tan Sri Mohd Zuki Ali, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta dif-dif kehormat yang lain.-UKAS.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Kerajaan Sarawak akan melaksanakan Projek Rural High Speed Broadband di Sebuyau

    0
    SEBUYAU, 27 JANUARI 2025 (SNN): Seramai 122 orang kanak-kanak telah mengambil bahagian dalam program berkhatan beramai-ramai anjuran Parlimen 201 Batang Lupar dan N27 Sebuyau...