KUCHING, 22 JULAI 2021 (SNN) : Seorang anggota RELA mengalami kecederaan patah kaki kiri selepas dilanggar oleh seorang remaja lelaki yang cuba merempuh Sekatan Jalan Raya (SJR) di Batu 16, Jalan Kuching-Serian sekitar jam 8.15 malam pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan dalam satu kenyataan berkata, kejadian tersebut berlaku selepas anggota bertugas di SJR terbabit cuba memberhentikan tiga buah motosikal tetapi salah sebuah daripadanya memecut laju lalu melanggar salah seorang anggota RELA yang bertugas disitu.
Akibat daripada pelanggaran itu, anggota RELA terbabit terjatuh dan mengalami kecederaan patah kaki bahagian kiri manakala penunggang motosikal remaja lelaki berusia 15 tahun terbabit mengalami cedera ringan di siku dan lutut.
Superintendan Aidil menambah, motosikal suspek terpaksa disita dan suspek telahpun ditahan di lokap Balai Polis Tapah dan akan disiasat mengikut Seksyen 42(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.