LAWAS, 15 APRIL 2024 (SNN): Penguasaan terhadap pendidikan, kemahiran dan pelbagai bahasa amat ditekankan kepada anak-anak muda pada masa kini dalam menempuhi perubahan dan kemajuan zaman.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, langkah ini wajar dititikberakan bagi memastikan anak-anak terdedah kepada arus perubahan yang menekankan terhadap ekonomi digital, perdagangan rentas sempadan dan sebagainya.
Katanya lagi, kerajaan negeri juga sentiasa peka akan peredaran zaman bagi meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi pendidikan dan keusahawan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Malam Ziarah Aidilfitri anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Dato Menengah, Kampung Dato Laut dan Kampung Dato Ulu di Waterfront Kampung Dato, Kuala Lawas baru-baru ini.
Datuk Amar Awang Tengah menambah, kerajaan Sarawak akan terus berusaha untuk membangun dan menaik taraf kemudahan-kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air untuk manfaat rakyat dalam jangka masa panjang.-UKAS