KUCHING, 25 JUN 2022 (SNN): Baru-baru ini keputusan Sijil Pelajaram Malaysia (SPM) diumumkan dan sudah pasti bagi mereka yang menduduki peperiksaan tersebut ada impian masing-masing mengikut keputusan yang diperolehi.
Walau bagaimanapun, samada keputusan cemerlang ataupun tidak itu bukanlah satu pengkahiran kerana ada berbagai jalan untuk seseorang itu mengecapi kejayaan dalam hidup. Namun, tidak dinafikan mereka yang memperolehi keputusan cemerlang pasti sudah memasang niat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Oleh itu, bagi mereka yang memasang impian untuk menjadi seorang yang hebat dan berjaya haruslah bersungguh-sungguh dan sudah pasti mempunyai idola yang sudahpun berjaya hingga mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Sebagai contohnya, salah seorang anak kelahiran Malaysia iaitu pemuda genius bernama Yusuf Yusri yang berjaya mengharumkan nama negara dalam bidang aeronautik ataupun bidang berkaitan angkasa lepas.
Memetik penulisan daripada saudara Fazidi dalam Siakapkeli, Yusuf yang merupakan produk institut kemahiran tempatan dalam bidang Kejuruteraan Aeronautik berjaya menempah nama apabila menjadi penasihat dan juga jurutera kepada projek pembangunan roket Aquilo di Belanda.
Sebelum ke Eropah, beliau terlebih dahulu telah membuat persediaan dengan mendaftarkan diri di German-Malaysia Institute (GMI) dan pada tahun 2015 hingga 2017 beliau mengikuti Program Persediaan A-Level Jerman dan bidang Kejuruteraan.
Pada tahun 2017, beliau kemudian menyambung pengajian ke Jerman dengan memilih Hochschule Merseburg sebagai taman ilmu seterusnya. Di sini, beliau menghabiskan masa selama setahun dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.
Sebaik sahaja tamat pengajian disitu, beliau kemudian sekali lagi mendaftarkan diri di institut pengajian di Jerman dengan kali ini memilih Technische Hochschule Wildau sebagai wadah mencari ilmu selanjutnya. Selama setahun, saudara Yusuf melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu kemahiran dalam bidang Kejuruteraan Aeroangkasa, Aeronautical dan Astronautical.
Pada 2019, beliau kemudian merantau sekali lagi kali ini ke Belanda pula bagi mengikuti pengajian dalam bidang yang sama kali ini di Universiti Sains Gunaan Inholland hingga sekarang. Disinilah beliau terlibat secara aktif sebagai Jurutera dan juga Penasihat kepada pasukan pembangunan Roket Aquilo VII.
Beliau bersama-sama dengan 19 orang lagi ahli pasukan lain yang hadir daripada latar belakang dan negara yang berbeza bersama-sama menghasilkan roket berasaskan bahan ringan bagi mengoptimumkan prestasi dan penggunaan bahan bakar. Mei lalu, roket berkenaan berjaya dilancarkan bagi mengumpul data berkenaan suhu, tahap radiasi dan tekanan di udara.
Disana menurut saudara Yusuf, impian dan tujuannya untuk menyambung pelajaran di luar negara sudah tercapai. Mengambil kira saiz pasukan yang disertainya, beliau belajar banyak perkara terutamanya dalam memantapkan lagi ilmu kemahiran yang dimilikinya.
Kesimpulannya, kejayaan Yusuf ini menunjukkan walaupun memiliki ilmu yang yang diperolehi dari tanah air namun atas berkat usaha dan kerja keras dalam menimba ilmu adalah tidak mustahil untuk menjadi seorang yang berjaya bahkan sehingga mampu mengharumkan anam negara di peringkat antarabangsa.