KUCHING, 09 JULAI 2022 (SNN): Seorang anak Sarawak yang berasal dari Gedong, Simunjan telah terpilih sebagai penerima biasiswa penuh berprestij daripada kerajaan United Kingdom iaitu Chevening Scholarship. Makluman tersebut telah dimuat naik menerusi perkongsian gadis tersebut di laman Facebook miliknya pada 6 Julai yang lalu.
Nur Afifah Ismail, 26, penerima Chevening Scholarship Malaysia Kohort 2022/2023 itu ternyata masih tidak percaya dengan keputusan yang diperolehinya memandangkan beliau perlu bersaing dengan kebanyakan pemohon yang memiliki rekod kepimpinan yang hebat.
Setakat ini, beliau merupakan satu-satunya anak Sarawak yang terpilih selain 5 lagi penerima lain yang berasal dari Sabah yang akan melanjutkan pengajian dalam bidang Media Digital dan Komunikasi di University of Stirling.
Chevening Scholarship adalah biasiswa berprestij kerajaan UK yang dibiayai oleh Foreign, Commonwealth and Development Office UK serta rakan organisasi Chevening. Biasiswa ini dianugerahkan kepada pemohon yang layak dari seluruh dunia tanpa mengira had umur dan latar belakang bagi melanjutkan pengajian di peringkat sarjana (Masters) selama setahun di mana-mana universiti di negara itu.
“Proses permohonan biasiswa ini adalah begitu sengit kerana perlu bersaing dengan 58,000 pemohon dari seluruh dunia. Proses permohonan pula mengambil masa selama hampir satu tahun, bermula pada Ogos 2021, termasuk proses penulisan esei, senarai pendek, temuduga dan seterusnya pengumuman penerima akhir.
“Bismillahirahmanirrahim. Alhamdulillah. Syukur. It still feel surreal. Dolok, kmk pernah bertanyak, adakah kmk ada peluang belajar di luar negara sepanjang idup tok?Pernah terfikir, tapi macam mustahil,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa bersyukur kerana mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa, keluarga serta rakan sekeliling. Apatah lagi, peluang seumpama ini tidak mudah untuk digapai.
Beliau berasal daripada latar belakang pengajian peringkat rendah dan menengah sepenuhnya di sekolah di kampung halamannya iaitu SK Abang Kadir Gedong dan SMK Gedong dan kemudian melanjutkan ke pengajian tinggi di Univerisiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Afifah yang kini bekerja sebagai penerbit eksekutif kandungan digital di Borneo Digital, syarikat alumni program Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) Digital Village juga pernah menabur bakti semula di sekolah halamannya sebagai guru sandaran dan menjadi hos sambilan di RTM Sarawak.
Susulan kejayaannya itu, Naib Canselor UNIMAS, Datuk Professor Dr Mohamad Kadim Suaidi dalam satu kenyataan turut menzahirkan segulung tahniah di atas pencapaian Afifah kerana terpilih untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana yang dijangka akan berangkat pada September depan.