Kuching, 22 November 2025 – Anak jati Sibu, Puan Malseni Jamal, telah dilantik sebagai Ketua Esekutif Operasi dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sarawak Water Sdn. Bhd. berkuat kuasa 20 Jun lalu, sekali gus menandakan fasa baharu kepimpinan dalam usaha memperkukuh tadbir urus serta kecekapan operasi syarikat utiliti milik penuh Kerajaan Negeri Sarawak itu.

Puan Malseni, yang dikenali sebagai seorang ahli korporat yang bertekad, berdaya usaha, berorientasikan hasil, bersemangat dan kreatif, beraspirasi untuk memberi impak signifikan kepada komuniti selain membawa pengalaman luas dalam bidang litigasi, perundangan korporat, pengawalseliaan, kesetiausahaan korporat, strategi dan industri telekomunikasi.
Sarawak Water Sdn. Bhd. merupakan agensi di bawah Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) dahulunya dikenali sebagai LAKU Management Sdn. Bhd. yang diperbadankan pada 7 Jun 1995. Sarawak Water telah memeterai perjanjian konsesi selama 25 tahun dengan Kerajaan Negeri bagi pengeluaran serta pengagihan air terawat dan kutipan hasil air di tiga bandar utama di utara Sarawak, iaitu Miri, Bintulu dan Limbang.
Operasi syarikat bermula pada 1 Januari 1996 apabila ia mengambil alih tanggungjawab tersebut daripada Jabatan Kerja Raya (JKR). Sehingga Februari 2025, Sarawak Water mempunyai kira-kira 514 orang kakitangan, beribu pejabat korporat di Miri serta mengendalikan Pejabat Kawasan di Miri, Bintulu, Samalaju dan Limbang bagi menyokong operasi harian.

Dalam perkembangan berkaitan, Sarawak Water dengan kerjasama Pejabat Residen Sibu telah mengadakan sesi libat urus bersama pemimpin masyarakat dan agensi kerajaan pada 3 November 2025 bagi membincangkan cabaran berterusan berkaitan bekalan air di Sibu serta memberi penjelasan mengenai langkah penambahbaikan yang sedang dan akan dilaksanakan.
Sesi berkenaan yang dipengerusikan oleh Puan Malseni sebagai Pemangku CEO menumpukan kepada punca utama isu tekanan air rendah dan gangguan bekalan, termasuk permintaan semasa yang meningkat dan hampir melebihi kapasiti pengeluaran sedia ada iaitu 199 juta liter sehari (MLD) berbanding kapasiti 195 MLD, kekerapan paip pecah di sepanjang paip utama dan rangkaian agihan dengan purata 213 kes sebulan, selain infrastruktur lama yang menyumbang kepada kadar kehilangan air bukan hasil (Non-Revenue Water, NRW) yang tinggi pada paras 48.5 peratus.
Bagi menangani situasi semasa, Sarawak Water telah melaksanakan beberapa tindakan segera, antaranya mempercepatkan kerja pembaikan kebocoran bagi meminimumkan kehilangan air, melaksanakan pengurusan tekanan untuk menstabilkan bekalan di kawasan terjejas serta menggerakkan lori tangki air sebagai bantuan sementara di kawasan bertekanan rendah. Di samping itu, sebanyak 18 buah tangki simpanan tambahan turut dipasang di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Rantau Panjang bagi menyokong keperluan penduduk yang terkesan dengan gangguan bekalan.
Pada masa sama, sesi taklimat tersebut turut menggariskan beberapa langkah jangka sederhana dan jangka panjang bagi tempoh 2025 hingga 2027 bagi mengukuhkan sistem infrastruktur air di Sibu.
Antara inisiatif yang dibentangkan ialah pelaksanaan Projek Kanowit Fasa II oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) bernilai RM63.5 juta bagi meningkatkan liputan bekalan air kepada komuniti sekitarnya menjelang akhir 2025, projek naik taraf Loji Rawatan Air Salim bernilai RM291.4 juta bagi meningkatkan kapasiti daripada 150 kepada 300 MLD menjelang pertengahan 2027, serta projek pembinaan tangki simpanan dan rangkaian paip agihan di Rantau Panjang bernilai RM21 juta bagi memperkukuh ketahanan agihan di kawasan permintaan tinggi.
Turut dibentangkan ialah Program Penaiktarafan dan Pembaharuan Paip bernilai RM170 juta meliputi jarak sejauh 360 kilometer yang akan memberi manfaat kepada kawasan seperti Sibu Barat, Bawang Assan, Paradom, Sungai Assan, Permai Jaya, Jalan Kong Yit Khim, Durin, Teku dan kawasan sekitarnya. Program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif penaiktarafan rangkaian air negeri bernilai RM1.085 bilion yang sedang dilaksanakan di seluruh Sarawak.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Sarawak Water merakamkan penghargaan kepada Pejabat Residen Sibu, pihak berkuasa tempatan dan wakil komuniti atas kerjasama serta maklum balas konstruktif yang diterima.
Sarawak Water menegaskan komitmen berterusan untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan ke arah mewujudkan sistem bekalan air yang lebih boleh dipercayai, mampan dan saksama untuk setiap isi rumah di Sibu dan kawasan operasi lain di utara Sarawak.




