KUCHING, 15 APRIL 2025 (SNN): Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) terus perkukuh peranannya sebagai sebuah organisasi yang memelihara serta memperkasakan warisan budaya Melayu di Sarawak menerusi pelbagai inisiatif termasuk bakal tertubuhnya Wisma Melayu Sarawak dan Muzium Melayu Sarawak tidak lama lagi.
Bagi menjelaskan halatuju serta usaha yang sedang dilaksanakan oleh AKYBMS, satu deligasi Ahli Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS yang diketuai Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi LPA AKYBMS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah melakukan satu kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri, di sini, hari ini.
Turut serta dalam deligasi berkenaan ialah, Timbalan Pengerusi LPA; Dato Sri Mohamad Noraden Majais, Ahli LPA; Dato Sri Julaihi Narawi, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Datuk Dr. Haji Wahbi bin Junaidi.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, kunjungan deligasi berkenaan dilakukan bagi membentangkan status dan perkembangan terkini AKYBMS serta membincangkan usaha AKYBMS memperkasa dan memelihara warisan budaya masyarakat Melayu Sarawak.
Sehubungan itu, satu taklimat ringkas juga diadakan dan dibentangkan di hadapan Tuan Yang Terutama Tun mengenai projek pembangunan Wisma Melayu Sarawak dan Muzium Melayu Sarawak yang terletak di Jalan Diplomatik, Petra Jaya.
Dalam majlis yang sama, AKYBMS turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi untuk menghadiri Majlis SAMArindok Aidilfitri 2025 yang dijadualkan akan dilaksanakan pada 23 April ini di Hotel Riverside Majestic, Kuching.
Turut hadis sama, Setiausaha LPA AKYBMS; Datu Haji Abdul Razak Tready, Pengurus Besar AKYBMS; Datu Dr. Haji Sanib bin Haji Said, Konsultan Projek Wisma Melayu Sarawak; Ar. Ahmad Sura Awang dan Mohamad Afrizan Mohammed, serta kakitangan AKYBMS; Encik Amirul Akbar bin Osman.