SEBUYAU, 11 APRIL 2023 (SNN): Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli turun padang melihat dan menyerahkan bantuan segera kepada mangsa kebakaran rumah di Kampung Tebelu, di sini hari ini.
Beliau yang hadir bersama warga kampung berkenaan menyuarakan rasa simpati terhadap nasib dua keluarga yang kehilangan tempat tinggal lebih-lebih lagi hanya berbaki 10 hari sebelum menjelang hari raya.
Tambahnya, kejadian seperti ini amat tidak dijangkaui namun keperluan sebuah balai bomba di kawasan pedalaman adalah penting sekiranya berlaku kejadian seperti ini dan hal terbabit pernah diajukan di parlimen tempoh hari.
Terdahulu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak menerima panggilan kecemasan sekitar jam 2 petang pada Isnin berhubung satu kejadian kebakaran meliabtkan dua buah rumah jenis tidak kekal di Kampung Tebelu, Sebuyau.
Berdasarkan maklumat diperolehi oleh pasukan operasi, difahamkan rumah pertama tidak berpenghuni manakala rumah kedua mangsa berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan namun harta benda musnah sepenuhnya.
“Punca kebakaran serta jumlah kerugian yang dialami oleh kedua-dua mangsa masih dalam siasatan,” ujar kenyataan itu lagi.