KUCHING, 22 APRIL 2022 (SNN) : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat pulang ke Melaka pada Jumaat setelah menyempurnakan lawatan rasmi selama sehari di Sarawak.
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching disambut oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Pehin Sri Tun Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.
Turut hadir ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar serta isteri, Dato Fatimah Mohd Iskandar, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom serta isteri, Datin Sri Loreta Rundi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato’ Amir Omar, serta Tetamu-Tetamu Kehormat yang lain.
Terdahulu, Seri Paduka berdua berangkat tiba ke Kuching pada Khamis dan telah berkenan mencemar duli ke Bazar Ramadan Satok pada sebelah petang di mana Seri Paduka berdua berkesempatan membeli juadah puasa berupa makanan tempatan Sarawak sambil menyantuni rakyat yang hadir di situ.
Pada sebelah malam pula, Seri Paduka berdua berkenan mencemar duli ke Majlis Berbuka Puasa dan Solat Maghrib Berjemaah di Masjid Jamek Negeri Sarawak. Seterusnya, Seri Paduka berdua turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 30 penerima golongan asnaf.-UKAS.