SEBUYAU, 08 FEBRUARI 2023 (SNN): Penganjuran Program Pengaturacaraan Robotik peringkat Sebuyau memberi pendedahan ilmu pengetahuan tentang robotik kepada pelajar seiring dengan perkembangan kemajuan teknologi terkini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi memberitahu, program ini adalah lanjutan daripada program pertama yang dianjurkan oleh umni UKM Sarawak dengan kerjasama Pejabat Daerah Sebuyau tiga tahun lepas.
“Penganjuran kali ini merupakan salah satu beberapa siri program yang sama sebelum ini yang kemudiannya mendapat sokongan kewangan daripada Yayasan Bank Rakyat dan geran kewangan Kerajaan Sarawak.
“Pada kali ini, penganjurannya telah menarik ramai penyertaan dan minat daripada pelajar dan guru dari kawasan Sebuyau yang menandakan ilmu pengaturacaraan robotik ini sesuai seiring dengan kemajuan teknologi sekarang ini yang semakin canggih,” katanya ketika hadir merasmikan program terbabit di Sebuyau baru-baru ini.
Ujarnya lagi, bagi membolehkan program ini berkembang dan dianjurkan pada tahun-tahun akan datang, beliau telah meluluskan geran khas awal untuk tujuan menubuhkan Kelab Robotik Sebuyau.