KUCHING, 20 APRIL 2021 (SNN) : Susulan arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ke atas kawasan Taman Mesra Bako sejak 18 April lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr. Hazland Abang Hipni bertindak menghulurkan bantuan keperluan makanan kepada penduduk yang terjejas.
Penyerahan bakul makanan untuk keperluan selama dua minggu itu telah diserahkan melalui wakil Pusat Khidmat N5 Demak Laut kepada Penghulu Haji Lair dan Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Taman Mesra Bako sebelum diagihkan kepada 159 buah keluarga di kawasan berkenaan.
Ketika dihubungi media, Dr. Hazland menjelaskan bantuan berkenaan adalah inisiatif dari DUN Demak Laut untuk membantu meringankan beban penduduk di Taman Mesra Bako yang kini sedang menjalani PKPD akibat terdapat peningkatan kes positif Covid-19 sejak pelaksanaan Pengesanan Kes Aktif (ACD) beberapa hari yang lalu.
Tegas beliau, dengan adanya bantuan yang diserahkan itu diharap dapat membantu sedikit sebanyak bebanan penduduk di kawasan itu ekoran tidak dibenarkan menjalankan aktiviti seharian seperti hari-hari biasa dalam usaha bersama-sama mencegah dan memutuskan rangkaian wabak Covid-19.
Terdahulu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah mengambil keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Mesra Bako bermula 18 April hingga 1 Mei 2021 ekoran peningkatan kes positif Covid-19.-SUMBER UKAS.