LIMBANG, 04 APRIL 2021 (SNN) : Menteri Muda Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berhasrat untuk menjadikan Kampung Pundut, Limbang sebagai pengeluar terbesar tanaman buah pisang di Daerah Limbang ini dengan mengamalkan sistem pertanian yang baik.
Setakat ini, pihaknya telah meminta Jabatan Pertanian bagi memantau projek tanaman pisang yang ada di kawasan kampung berkenaan dan memberi segala bantuan teknikal serta khidmat nasihat bagaimana proses penanaman pisang yang baik berikutan masih ramai lagi peserta di situ belum mengamalkan sistem penanaman yang sesuai.
“Pengamatan pertama dari apa yang saya lihat adalah masih ada yang belum mengamalkan sistem penanaman yang baik di sana. Yang keduanya, saya telah mengarahkan agar pihak Jabatan Pertanian untuk berhubung dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) bagi menambah baik sistem aliran di kawasan Kampung Pundut dan yang ketiganya adalah hasrat kita untuk menjadikan kampung berkenaan sebagai pengeluar pisang terbesar di dalam daerah ini.
“Sekarang ini projek penanaman pisang hanya melibatkan seramai 33 orang peserta dan ada lebih kurang 20 orang peserta lagi yang berminat untuk menceburi bidang penanaman pisang ini. Oleh itu, kita sudah mempunyai satu perancangan untuk membesarkan kawasan berkenaan agar projek itu dapat di sertai oleh lebih ramai lagi penduduk,” kata beliau selepas mengadakan lawatan ke tapak Projek Tanaman Pisang Secara Berkelompok di Kampung Pundut, Limbang pada Rabu.
Tambahnya, setakat ini 33 orang peserta yang telah menyertai program di bawah Program Agriculture Facilitation Fund (AFF) 2019 telah menerima bantuan sejumlah RM234,000 berbentuk input seperti baja, mesin rumput, alat penyembur racun dan baja.
Dalam majlis yang lain, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota turut berkesempatan melawat ke tapak Projek Tanaman Durian Integrasi dan Ternakan Lembu milik Jerry Siran di Kampung Bukit Impas serta Projek Tanaman Daun Nyirik di Kampung Bangkuati.
Turut hadir sama mengiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Pegawai Pertanian (Pengembangan) Amirul Fikri Jemali, Penolong Pegawai Pertanian Daerah Limbang Christopher Dawat Anur dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Limbang Tr Ugak Sanggau.-SUMBER UKAS.