ASAJAYA, 12 MAC 2021 (SNN) : Setakat hari ini seramai 1,038 individu terdiri daripada penduduk Kampung Asajaya Laut, Kampung Asajaya Tengah dan Kampung Asajaya Ulu telah disaring menerusi Pengesanan Kes Aktif (ACD) Covid-19 yang bermula sejak semalam dan dijangka tamat pada petang ini.
Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang berkata pihaknya sentiasa mengambil maklum terhadap perkembangan terkini ACD di Asajaya dan sentiasa bersiap sedia untuk mengahadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku selepas usaha pengesanan kes aktif di kawasan berkenaan berakhir.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada 130 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), dan petugas kesihatan yang bertungkus lumus menjayakan ACD ini.
Disamping itu, Rubiah turut berterima kasih kepada penduduk kampung Asajaya khususnya kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di ketiga-tiga kampung berkenaan kerana memberi kerjasama yang baik kepada petugas barisan hadapan sepanjang ACD dijalankan.
Jelas beliau, keadaan sebenar penularan wabak Covid-19 akan diketahui selepas ACD ditamatkan dan keputusan ujian saringan diterima dan berharap agar semua penduduk kampung bertenang serta dilindungi daripada wabak covid-19 ini.