KUCHING, 31 MEI 2022 (SNN): Rakyat Sarawak khususnya Anak Melayu diseru agar sentiasa mempelajari ilmu baharu berlandaskan ajaran Islam agar dapat membantu Kerajaan Sarawak dalam meneroka pendekatan baharu untuk menjana pendapatan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perubahan dunia pada hari ini menuntut kita semua menggunakan pendekatan baharu untuk mencari sumber ekonomi yang memerlukan kepakaran terutama dalam bidang sains.
“Sarawak kini beralih kepada cara baharu menjana pendapatan melalui kawalan terhadap ruang udara di atas wilayahnya dan penyimpanan karbon selepas Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2022 Tanah diluluskan.
“Selain itu, Sarawak juga mengkaji potensi lumut dalam penghasilan biofuel. Oleh itu, saya telah mengarahkan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) untuk membuat kajian bersama Petronas dan Aviation Research Centre mengkaji pengeluaran biofuel daripada lumut,” katanya berucap semasa majlis SamaRindok Aidilfitri 2022 anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak di Kuching pada Isnin.
Tambah beliau lagi, biofuel merupakan tenaga yang digunakan oleh kapal terbang di masa akan datang. Sarawak ini amat bertuah kerana lumut boleh ditanam di kawasan pesisir dan kalau ianya berjaya Sarawak mampu mengeluarkan minyak biofuel sendiri.
Menurut beliau lagi, Kerajaan Sarawak juga telah menubuhkan Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah untuk meneroka potensi kedua-dua produk berkenaan termasuk penghasilan gas metana.
Dedahnya, kajian para saintis mendapati pokok bakau yang tumbuh melata di kawasan pesisir Sarawak berupaya menyimpan karbon tiga kali ganda dari pokok biasa.
“Alhamdullillah, saya bersama rakan-rakan saya dalam kabinet dapat ilham untuk memperkuatkan ekonomi Sarawak melalui cara-cara baru. Dan kalau cara baru ini, mesti ada ilmu.
“Jadi Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak perlu memain peranan mendidik serta menggalakkan masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama khususnya orang Melayu agar sentiasa menuntut ilmu serta mempelajari ilmu baharu.
“Kita ada Swinburne yang telah kita ambil alih. Kita ada Curtin kita ambil alih 100 peratus. Kita ada UTS di Sibu. Kita ada i-Cats yang sudah dinaik taraf sebagai universiti kolej dan kita tingkatkan Centexs sebagai pusat latihan.
“Apa yang perlu, kita isi universiti kita. Kalau pendapatan kita bertambah, kita akan beri sokongan dari sudut biasiswa,” katanya.
Dedahnya lagi, kemasukan pelajar-pelajar dari luar bandar ke UTS Sibu meningkat tiga kali ganda dalam tempoh dua tahun selepas kerajaan memperkenalkan bursari untuk membantu pelajar khususnya golongan B40 tanpa mengira kaum.
Dalam majlis sama, Premier Sarawak turut menyampaikan sumbangan daripada Kerajaan Sarawak kepada Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak berjumlah RM15 juta bagi mendukung aktiviti untuk masyarakat Melayu Sarawak.
Terdahulu, Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Pemegang Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam ucapan aluannya berkata kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Zohari Tun Openg menekankan kepada integriti dan berpaksi kepada keadilan.
Selain itu katanya, kepimpinan dibawa Premier Sarawak akan terus berpaksi kepada kesaksamaan kerana mengambil kira kepentingan semua masyarakat samada suku kaum majoriti mahupun minoriti.
“YAB Premier Sarawak adalah premier untuk seluruh kaum, seluruh negeri kita ini. Ini harus kita pertahan dan harus kita pertingkatkan demi untuk kestabilan keharmonian.
“Disebabkan itu, dalam tempoh kita berdepan dengan pandemik Covid-19 selama dua tahun, YAB Premier telah melancarkan pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang dari 1.0 hingga 8.0 melibatkan peruntukan lebih RM5.7 bilion,” katanya.
Jelasnya, Premier Sarawak juga mahu seminar budaya untuk semua kaum di Negeri Sarawak yang diadakan sekali setiap lima tahun diteruskan agar dapat mencari resolusi-resolusi yang menjadi harapan dan hasrat sesuatu kaum.
Turut hadir sama isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang; Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian dan isteri; Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan isteri; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Nancy Shukri, menteri dan timbalan menteri kerajaan negeri serta dif-dif kehormat yang lain.