MIRI, 21 JUN 2022 (SNN): Insiden kerosakan paip utama di Batu 7, Jalan Miri – Bintulu (berdekatan PUSPAKOM) yang berlaku pada 16 Jun lepas telah mendapat perhatian Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi.
Dalam sidang medianya di Hotel Marriot Miri Resort dan SPA selepas melakukan lawatan ke lokasi kejadian pada Isnin, beliau memberitahu Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Lebuhraya Pan Borneo tentang cadangan pemindahan paip air utama ini.
Tegas beliau lagi, paip bersaiz 1100mm dan 750mm dalam jajaran Lebuhraya Pan Borneo mesti dipindahkan sebelum Lebuhraya Pan Borneo Pakej 11 diteruskan.
“Kepentingan orang ramai sangat penting. Anda tidak boleh menafikan bekalan air ke seluruh bandar Miri dan mereka mesti melakukan penempatan semula.
“Saya menegaskan ia mesti dilakukan. Jika tidak, Miri tidak mempunyai bekalan air. Pemindahan saluran paip baharu di bawah jajaran Pakej 11 kira-kira 80km mesti dilakukan,” katanya.
Insiden ini telah menyebabkan lebih 300,000 penduduk di Bandaraya Miri terjejas iaitu tidak menerima bekalan air selama empat hari iaitu dari 5:00 pagi 16 Jun 2022 hingga 1:45 petang, 19 Jun 2022.
Dalam pada itu, Datuk Julaihi turut mengumumkan penubuhan Unit Penyelenggaraan di semua agensi utiliti air di Sarawak bagi melakukan pemeriksaan ke atas semua paip-paip sedia ada iaitu yang berdiameter 750 meter di mana telah wujud lebih 40 tahun dan paip berdiameter 1,100 meter lebih 30 tahun.
“Jika kita ada unit penyelenggaraan, maka kita akan dapat melakukan pemeriksaan dan mencari jalan penyelesaian terhadap kerosakan paip air. Saya telah berbincang dengan pihak LAKU dan agensi lain sebentar tadi dan mereka boleh melakukan pemeriksaan berkala di mana-mana tempat yang berisiko.
“Jadi, kita bukan hanya melakukan pemeriksaan semasa kerosakan berlaku. Mereka perlu membuat pemeriksaan dari semasa ke semasa. Sebab itu saya tekankan sebentar tadi Unit Penyelenggaraan mesti ada sepanjang masa untuk melakukan pemeriksaan secara berkala,” jelasnya lagi.
Tambah beliau lagi, usaha mengubah paip bekalan air yang terletak jajaran Lebuh Raya Pan Borneo di bawah Pakej 11 juga akan dilakukan selain menukar paip utama berdiameter 750 meter (lebih 40 tahun) dan paip berdiameter 1100 meter (lebih 30 tahun) serta mewujudkan sistem bekalan air secara grid ke seluruh Sarawak.
Turut sama hadir Menteri Pengangkutan Sarawak; Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Telekomunikasi); Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti); Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu; Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) merangkap ADUN Piasau; Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, ADUN Pujut merangkap Datuk Bandar Miri; Adam Yii Siew Sang, Pengerusi LAKU Management Sdn Bhd; Datuk Nelson Balang Rining dan Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf.-UKAS.