KOTA SAMARAHAN, 01 APRIL 2022 (SNN) : Sebuah rumah musnah dalam sebuah kebakaran yang berlaku pada kira-kira 2.45 pagi pada Khamis di Kampung Sungai Mata, Kota Samarahan.
Rumah milik Imam Masjid Darul Naim Kampung Sungai Mata, Haji Sedek Taip, 76 Tahun, rumahnya yang dibina dari struktur binaan kayu musnah sekelip mata dalam kebakaran tersebut yang juga turut menyebabkan kebakaran berlaku dengan marak dan pantas.
Pusat Khidmat Parlimen Kota Samarahan dalam satu kenyataan menjelaskan, mangsa mengesyaki kebakaran bermula apabila terdapat asap di ruang tengah rumahnya sebelum api marak muncul dan beliau serta isterinya tidak sempat menyelamatkan barang-barangan kerana kebakaran merebak dengan sangat cepat.
Antara yang musnah ialah kitab-kitab rujukan yang diperolehinya dari pelbagai tempat termasuklah kitab ilmu dari luar negara seperti Dubai dan Mesir.
Prihatin terhadap nasib yang menimpa mangsa, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Hajah Rubiah Wang menziarahi lokasi kebakaran pada tengahari semalam serta menghulurkan bantuan segera kepada mangsa berkenaan.
Beliau ketika ditemui menzahirkan rasa sedih dan turut berdukacita dengan bencana yang menimpa kedua-dua pasangan tersebut apatah lagi ketika masyarakat Islam mulai membuat persiapan untuk menyambut ketibaan bulan Ramadan pada minggu hadapan.
Datuk Rubiah akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Pejabat Daerah Samarahan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Sungai Mata untuk membantu Haji Sedek membina serta membaikpulih kediamannya yang musnah dalam kebakaran tersebut.
Turut hadir bersama ialah Pegawai Daerah Samarahan, Haji Anuar Daan dan Ketua Kaum Sungai Mata, Haji Daud Bujang.