KUCHING, 21 DISEMBER 2021 (SNN) : Gabungan Parti Sarawak (GPS) kesal individu tidak bertanggungjawab menyalahgunakan logo gabungan itu di media sosial Facebook dan mengeluarkan komen berbentuk provokatif serta berbaur perkauman terhadap keharmonian masyarakat pelbagai agama di negeri ini.
Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi kenyataan media berkata, pihaknya memandang serius komen yang tular tersebut yang telah menimbulkan salah faham terhadap gabungan parti ini. Akaun tersebut menggunakan logo parti GPS telah mengeluarkan komen berbentuk provokatif terhadap keharmonian masyarakat pelbagai agama di Negeri Sarawak, dengan mengaitkan agama Islam dan bangsa Melayu secara spesifik.
“GPS menafikan sekerasnya penglibatan gabungan parti ini dengan pemilik akaun berkenaan yang jelas telah menyalahgunakan logo GPS dan merupakan satu tindakan terdesak kumpulan tertentu untuk memberi imej buruk kepada GPS selepas kemenangan besar parti ini pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 baru-baru ini,” tegasnya.
Tambahnya, pihak tidak bertanggungjawab ini sekali lagi telah menggunakan isu agama bagi mencetuskan perasaan kurang senang dalam kalangan pengundi bukan beragama Islam dan rakyat berbangsa Cina yang kembali memberi sokongan kepada GPS.
“Oleh itu, GPS menyeru masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan pelbagai taktik kotor yang digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai agama dan kaum di negeri ini,” kata Nanta.
Beliau menambah, menyebarkan hasutan dan propaganda melalui kecanggihan teknologi dan media sosial sudah seringkali dijadikan modal oleh golongan ini dan ia sudah jelas satu tindakan yang menyalahi undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.
Namun, katanya, GPS yakin rakyat di negeri ini sudah semakin bijak dan matang untuk berfikir secara rasional untuk tidak terpengaruh dengan dakyah yang cuba dilemparkan oleh pihak tertentu. Rakyat di negeri ini juga sudah hidup dengan harmoni dalam kepelbagaian agama dan kaum sejak sekian lama dan golongan tidak bertanggungjawab ini seharusnya sedar, isu agama dan kaum tidak laku di Sarawak.
“Saya percaya, rakyat Sarawak tetap cintakan perpaduan dan keharmonian serta saling menerima keunikan kaum lain seadanya,” ujarnya.