More
    Home Malaysia Projek Jalan raya Sebuyau-Lingga dijangka siap pada tahun 2025 ini-Datuk Julaihi

    Projek Jalan raya Sebuyau-Lingga dijangka siap pada tahun 2025 ini-Datuk Julaihi

    SEBUYAU, 05 OKTOBER 2021 (SNN) : Projek pembinaan jalan raya menghubungkan Daerah Kecil Sebuyau dan Lingga yang sedang rancak dibina dengan keseluruhan panjang hampir 30 Kilometer dijangka siap sepenuhnya pada awal bulan Mei 2025 kelak.

    Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata, projek Jalan menghubungkan Sebuyau-Lingga sepanjang 28.5 Kilometer dan tiga buah jambatan kecil di Sungai Lidi dan Sungai Parit masing-masing sepanjang 50 meter termasuk jambatan Sungai Lingga sepanjang 720 meter merupakan salah satu daripada pakej jalan utama kedua jalan pesisir Sarawak.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau menjelaskan, projek itu mula dilaksanakan pada 05 Januari 2021 lalu dan dijangka siap pada 04 Mei 2025 dengan nilai kos keseluruhan projek sebanyak RM495 juta hasil inisiatif bajet daripada Kerajaan Sarawak sendiri.

    “Setakat ini kerja-kerja pembersihan tapak (site clearing) jajaran jalan telahpun selesai dilakukan hampir 90 peratus iaitu sepanjang 26 kilometer daripada 28.5 kilometer termasuklah kerja menembok pasir untuk lapisan permulaan. Jajaran jalan ini juga selari dengan Sungai Batang Lupar dari Sebuyau hingga ke Lingga.

    “Apabila siap kelak, jalan raya ini akan menyediakan jalan perhubungan antara Bahagian Samarahan dan Sri Aman dan sudah pastinya akan memendekkan masa dan jarak perjalanan dari Sebuyau serta kawasan sekitarnya menuju ke Lingga berbanding dengan jalan jauh melalui Lebuhraya Pan Borneo dari Kuching atau Samarahan atau Simunjan menuju ke Serian dan Bandar Sri Aman,” katanya dalam satu sidang media semasa mengadakan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan pada Isnin.

    Datuk Julaihi (tengah) melihat sendiri keadaan tapak projek jalan di sebelah Sebuyau bersama-sama pihak kontraktor.

    Tambah beliau lagi, selain memendekkan jarak perjalanan pembukaan jalan baharu itu kelak secara tidak langsung akan merancakkan pembangunan sektor sosio-ekonomi di kawasan luar bandar termasuklah pembukaan kawasan pertanian baharu di sepanjang jalan.

    “Semasa lawatan itu juga saya turut mengingatkan kontraktor yang terpilih iaitu Sri Datai CHEV JV Sdn Bhd supaya mengambil tenaga kerja tempatan samada tenaga kerja biasa, pekerja separa mahir dan profesional tempatan seperti penyelia, jurutera, juru ukur bahan dan lain-lain selain daripada terus bergantung dengan tenaga buruh asing. Hal ini penting bagi melatih dan memberi pendedahan kepada pekerja tempatan dalam usaha adaptasi teknologi moden disamping membantu memberikan pekerjaan kepada orang tempatan lebih-lebih lagi di musim pandemik ini,” tegasnya lagi.

    Jelas beliau, pemilik syarikat juga turut diingatkan agar kerap turun padang memantau kemajuan projek dari semasa ke semasa selain daripada hanya bergantung kepada para jurutera atau wakil syarikat sahaja. pemilik syarikat harus bertanggungjawab terhadap perjalanan dan prestasi kerja di tapak projek selain dari taklimat bulanan di pejabat sahaja.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    RUU yang diluluskan semasa persidangan DUN baru-baru ini beri impak besar...

    0
    KUCHING, 10 JANUARI 2025: Kelulusan beberapa Rang Undang-Undang (RUU) baharu semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada bulan Mei dan November tahun lalu...