KUCHING, 22 OGOS 2021 (SNN) : Ahli Parlimen Stampin, Chong Chien Jen hanya pandai memutar belit cerita dengan menyalahkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam misi merealisasikan Perdana Menteri pertama dari Borneo selepas Perdana Menteri sebelumnya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.
Kelab Penyokong GPS dalam satu kenyataan menyatakan, kenyataan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak yang mendakwa GPS telah menggagalkan impian untuk menyaksikan Perdana Menteri dari Sabah dan Sarawak itu bagaikan cakap tidak serupa bikin.
“Sudah jelas bahawa dari awal lagi Pakatan Harapan (PH) mencalonkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anuar Ibrahim sebagai Perdana Menteri seterusnya dan bukannya Datuk Shafie Apdal dari Parti Warisan Sabah. Sekarang ini kami ingin bertanya kepada Chieng Jen, adakah DAP sekarang ini masih menyokong Shafie Apdal, sedangkan Ahli Parlimen Semporna itu sendiri telah menarik diri daripada pencalonan bagi memberi laluan kepada Presiden PKR.
“Sejauh mana umum mengetahui, siapakah yang telah dicalonkan oleh DAP, PKR, Amanah serta sekutu Pakatan Harapan (PH) lain sebagai calon Perdana Menteri? Adakah Shafie Apdal?” tegas Kelab Penyokong GPS dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, tindakan PH itu sendiri sudah jelas menunjukkan sikap tidak konsisten untuk mencalonkan pemimpinnya menjawat jawatan Perdana Menteri ke-9 tersebut. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Chieng Jen dan DAP dengan menyalahkan GPS atas kegagalan melantik Perdana Menteri daripada Sabah dan Sarawak itu adalah tidak benar sama sekali.

Pada Khamis lalu, Chieng Jen dalam satu hantaran di Facebook miliknya mengkritik GPS kerana menyokong Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berbanding Shafie Apdal untuk menjawat jawatan Perdana Menteri ke-9.
Jelasnya, Shafie mendapat sokongan bersyarat dari 105 penggubal undang-undang pembangkang dan akan memperoleh majoriti parlimen sederahan sekiranya GPS menyokongnya.