KUCHING, 11 OGOS 2021 (SNN) : Seorang wanita muslimah dari Malaysia yang merupakan bekas pelajas Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab baru-baru ini menjadi sebutan orang ramai selepas beliau berjaya dilantik menjadi salah seorang jurutera di syarikat automatif terkenal dunia, Tesla sebagai pengajar robotik.
Fakhirah Kharuddin, 25 tahun, anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu mendapat tawaran sebagai Pengajar Jurutera Teknik Latihan Robotik di syarikat gergasi itu yang antara lainnya turut mengajar tentang robotik FANUC dan KUKA kepada jurutera dan juruteknik yang lain di Tesla.
Beliau adalah merupakan salah seorang bekas pelajar MRSM Kota Putra, Besut, Terengganu yang turut menawarkan program Ulul Albab iaitu pendidikan integrasi antara program pendidikan sedia ada, sistem pendidikan MRSM dan aliran agama termasuklah tahfiz Al-Quran.
Menerusi perkongsian daripada seorang jurutera, Richard Ker di Facebook miliknya, Fakhirah juga pernah melanjutkan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa di Universiti California, San Diego atas tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA). Setelah tamat pengajian pada tahun 2019, beliau terus menyambung pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang yang sama di universiti berkenaan.
Perjalanan Fakhirah ini bukan semudah yang disangka namun kesungguhan beliau berjaya membuktikan apa sahaja yang diimpikan pasti akan tercapai sekaligus menjadi inspirasi kepada setiap rang khususnya terhadap para wanita di luar sana.
Perjalanan pengalaman Fakhirah sebelum benar-benar layak sebagai jurutera di Tesla
1. Fakhirah pernah bekerja sebagai Jurutera Pembangunan Propulsi di University of California; di mana beliau menulis kod Matlab untuk mengkaji konduksi haba enjin roket.
2. Beliau juga memenangi tempat pertama di Northrop Grumman System Engineering Challenge 2019 iaitu bersaing dengan 50 pasukan lain; projek beliau adalah lengan robotik. Satu pencapaian yang sungguh hebat.
3. Beliau juga adalah ketua pasukan dan menerajui penyelidikan dan pengembangan Projek Hexacopter bersama University of California, San Diego.
4. Beliau merekacipta quadcopter, casing sensor dan gear pendaratan di Solidworks, mempersembahkan konsep baharu melalui ujian cetakan 3D dan memperbaiki reka bentuk melalui lelaran.
Melihat kepada pencapaian beliau sudah pasti ramai berasa kagum dengan kebolehan beliau sehingga Tesla mengambil beliau untuk bekerja di syarikat mereka sebagai tenaga pengajar. Pun begitu, perkongsian mengenai kejayaannya itu sudah pasti membuatkan ramai terinspirasi lebih-lebih lagi dalam bidang kejuruteraan automotif.
Tahniah diucapkan kepada saudari Fakhirah di atas kejayaan yang dikecapi. Semoga kita rakyat Malaysia lebih ramai lagi berminat dengan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik serta berjaya seperti beliau.