SEBUYAU, 04 JULAI 2021 (SNN) : Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi berpuas hati dengan pelaksanaan projek Tranformasi Luar Bandar (RTP) dan projek-projek lain yang telah diluluskan dilaksana dengan mengikut jadual.
Semasa lawatan kerja beliau di Kampung Entangor, Sebuyau baru-baru ini, beliau berpuas hati melihat dua projek RTP iaitu projek jambatan menyeberangi Sungai Entangor ke kawasan bukit dan gereja serta gelanggang futsal telah siap mengikut jadual pelaksanaannya.
Sementara itu, Datuk Julaihi beserta rombongan lawatan kerja berkenaan turut meninjau keadaan projek ‘Taggang’ yang masih giat dilaksanakan di Sungai Entangor. Beliau berterima kasih kepada kerajaan negeri yang sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat di kawasan DUN Sebuyau dengan meluluskan beberapa projek rakyat untuk kesejahteraan bersama.
Turut hadir sama mengiringi beliau dalam lawatan kerja adalah Residen Bahagian Samarahan; Haji Berahim Lumpu, Pegawai Tadbir Sarawak Sebuyau; Ajis Ahmad dan Tuai Rumah Kampung Entangor; Mommin Ak James Genta.